Wednesday, 1 February 2017

Perbezaan Antara Projek Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan


Kepada guru-guru yang berminat untuk lakukan kajian atau kertas projek untuk inovasi, ataupun sebarang kajian tindakan, ianya terdapat perbezaan dan sedikit persamaan. Cikgu Nurul Hanim  melalui blognya telah berkongsi definisi dan konsep Projek Inovasi, Kajian Tindakan dan Penyelidikan melalui pengalaman beliau.

Jom tajamkan pemahaman kita mengenai perkara-perkara di atas.

Selaku guru, pasti kita berdepan dengan banyak cabaran semasa menjalankan pengajaran & pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah. Antara cabaran yang sering dihadapi adalah tahap kefahaman pelajar yang berbeza dan kesukaran pelajar untuk memahami pengajaran guru terutamanya apabila melibatkan sesuatu konsep yang abstrak.
Antara langkah penyelesaiannya adalah dengan cara menjalankan kajian tindakan, projek inovasi ataupun penyelidikan. Ketiga-tiganya mempunyai tujuan utama yang sama, iaitu mengkaji sesuatu isu atau masalah yang dihadapi dalam bilik darjah, sekolah mahupun dalam bidang pendidikan secara amnya. Namun, ketiga-tiganya merupakan perkara yang berbeza.

Saya bukanlah pakar dalam membincangkan definisi bagi setiap satu darinya. Perkongsian ini hanya merupakan hasil pemahaman dan pengamatan saya. Selain itu, ketiga-tiganya juga merangkumi bidang yang cukup luas, sama ada bagi tujuan akademik mahupun bukan akademik. Saya cuma akan memfokuskan kepada kajian berkaitan PdP sahaja.

Projek Inovasi

Secara amnya, projek inovasi biasanya berbentuk alat bantu mengajar (ABM), juga disebut bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan untuk memudahkan PdP guru dan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sesuatu konsep. Mungkin ada guru yang melaksanakan projek inovasi berbentuk pedagogi, namun ianya lebih sesuai dilaksanakan sebagai kajian tindakan. Inovasi yang dihasilkan tidak semestinya merupakan sesuatu yang baru. Boleh juga dihasilkan daripada inovasi guru lain, tetapi ditambahbaik dan disesuaikan dengan pelajar di sesebuah sekolah. Apa yang penting, jangan ditiru bulat-bulat.

Sebagai contoh, KAD MNEMION yang saya hasilkan merupakan sejenis kad imbas (flashcard) yang biasanya sering digunakan untuk kanak-kanak ataupun murid-murid di sekolah rendah. Sebagai penambahbaikan kepada flashcard yang biasa digunakan, saya hasilkan flashcard secara 2-dimensi (depan & belakang) dan boleh dipusingkan seperti kad menu di restoran. Saya gabungkan pula dengan mnemonik, maka terhasillah flashcard versi saya sendiri.
Berdasarkan pengalaman saya menyertai Pertandingan Guru Inovatif Negeri Sarawak baru-baru ini, sebuah projek inovasi yang baik dan ‘dipandang tinggi’ oleh panel penilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut; antaranya ialah:

i) Dipunyai oleh setiap pelajar dalam kelas. (bermaksud satu set inovasi untuk setiap pelajar)
ii) Menggunakan bahan kitar semula
iii) Kos yang rendah

Apakah tajuk / topik yang sesuai untuk dijalankan projek inovasi? Persoalan ini merupakan suatu yang bersifat subjektif. Ini kerana tahap pelajar di setiap sekolah adalah berbeza. Kadang-kadang ada tajuk / konsep yang mudah difahami oleh pelajar di sesebuah sekolah, tetapi dianggap sukar oleh pelajar sekolah lain terutamanya sekolah luar bandar. Sebagai permulaan, cari tajuk yang sukar difahami oleh majoriti pelajar di sekolah kita. Kecilkan skop tajuk. Pilih konsep yang mudah untuk kita bina inovasi yang berbentuk maujud (fizikal).

Sebagai contoh:

i) Kimia Ting.5, Bab 2: Sebatian Karbon

Inovasi membina model sebatian karbon menggunakan plastisin bagi meningkatkan kemahiran pelajar melukis struktur & menulis formula kimia sebatian karbon.

ii) Biologi

Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap proses kesegahan sel menggunakan model belon.

Dari segi format laporan projek inovasi, saya tidak pasti sama ada setiap negeri mempunyai format laporan yang tersendiri. Untuk kepastian bolehlah merujuk PPD / JPN masing-masing. Laporan yang saya tulis adalah berdasarkan format yang dikemukakan oleh JPN Sarawak. Ini merupakan laporan projek inovasi saya pada tahun 2014: KAD MNEMION.

Projek Inovasi ini baru sahaja saya bentangkan semasa di Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak 2015 baru-baru ini.

Kajian Tindakan (action research)

Kajian tindakan dilaksanakan untuk mengkaji sesuatu isu / masalah dan seterusnya bertindak bagi menyelesaikan masalah tersebut. Bagi memastikan keberkesanan sesuatu kaedah penyelesaian yang diambil, kajian tindakan biasanya dijalankan melalui beberapa gelung / kitaran (cycle). Tetapi, jika kaedah yang digunakan betul-betul berkesan dan masalah telah dapat diselesaikan secara menyeluruh, maka satu gelung sudah mencukupi. Dapatan kajian pula sering digunakan kaedah ujian pra dan ujian pos.

Terdapat banyak versi yang boleh dirujuk bagi melaksanakan kajian tindakan. Namun, secara umumnya sesebuah kajian tindakan melibatkan proses kerja berikut:

1. Refleksi PdP – mengenal pasti isu/ masalah yang dihadapi
2. Merancang penyelesaian
3. Melaksanakan kaedah penyelesaian yang dipilih
4. Menganalisis dapatan kajian & refleksi

Jika kaedah yang dipilih telah berjaya, maka kitaran kajian tindakan akan berhenti pada langkah ke-4. Jika belum berjaya sepenuhnya, kita kembali semula kepada langkah pertama dengan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat semasa gelung pertama. Dengan ini, kita akan memulakan gelung kedua kajian tindakan.

Kaedah yang dipilih bagi menyelesaikan sesuatu isu PdP dalam sesebuah kajian tindakan adalah lebih meluas berbanding dengan projek inovasi. Masalah yang dihadapi dalam PdP boleh diselesaikan menggunakan BBM (inovasi) mahupun kaedah pedagogi. Misalnya, menggunakan flashcard, magic whiteboard, model dan sebagainya untuk membantu pelajar memahami sesuatu konsep. Selain daripada menggunkan BBM, guru juga boleh menjalankan tindakan menggunakan kaedah seperti mentor-mentee, gallery walk, pembelajaran inkuiri dan lain-lain.

Tajuk bagi sesebuah kajian tindakan mestilah jelas, spesifik dan terperinci merangkumi objektif kajian, kumpulan sasaran serta kaedah penyelesaian. Antara contoh tajuk kajian tindakan:

i) Pelaksanaan kaedah nota berlagu untuk meningkatkan kemahiran pelajar mengingati kronologi peristiwa bagi novel Komsas dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 Merah di SMK Setia.
ii) Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep tekanan udara dengan menggunakan model “Belon Magik”.

Bagi guru yang pertama kali mahu menjalankan kajian tindakan memang akan terasa agak sukar kerana ianya melibatkan banyak proses yang teliti. Penulisan laporannya pula lebih terperinci berbanding projek inovasi. Saya mula mengenali kajian tindakan semasa melengkapkan folio Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB).

Saya merupakan batch pertama guru yang perlu melaksanakan PPGB pada tahun 2011. Memandangkan di sekolah saya tiada seorang pun guru yang pernah menjalankan kajian tindakan, maka agak terkial-kial juga saya pada masa itu. Rujukan saya hanya berpandukan pada enjin carian Google. Mujur saya menemui Manual Kajian Tindakan yang diterbitkan oleh Bahagian Perancangan & Pelaksanaan Dasar Pendidikan di laman sesawang KPM.

Lanjutan daripada kajian tindakan yang saya jalankan semasa menyiapkan folio PPGB, saya teruskan dengan gelung kedua. Semasa gelung kedua ini saya mendapat ilham menggunakan kad imbas. Jadi, kajian tindakan yang saya jalankan pada masa itu merupakan projek 2-dalam-1 di mana saya menggunakan projek inovasi sebagai kaedah penyelesaian dalam kajian tindakan.

Seterusnya, saya jalankan pula penambahbaikan pada projek inovasi tersebut sehingga terhasilnya Kad Mnemion. Laporannya kemudian saya asingkan.

Berikut merupakan hasil laporan kajian tindakan saya untuk gelung kedua: Kajian Tindakan Kimia 2014.

Penyelidikan Guru (research)

Daripada tiga perkara ini, penyelidikan boleh dianggap sebagai yang paling sukar untuk dilaksanakan, melibatkan proses yang sangat teliti, memakan masa yang lama dan penulisan laporan yang begitu terperinci. Dalam bahasa yang mudah, penyelidikan merupakan suatu kajian terhadap sesuatu isu / perkara untuk mendapatkan data yang sah.

Penyelidikan tidak semestinya menghasilkan penyelesaian, namun ia melibatkan metodologi kajian yang agak kompleks. Disebabkan itulah, tidak ramai guru di sekolah yang menjalankan penyelidikan, kebanyakannya menjalankan kajian tindakan sahaja. Saya sendiri juga belum mahir dengan penyelidikan. Bagi guru yang memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, maka pelaksanaan penyelidikan guru merupakan persediaan yang sangat bagus.

Aspek yang dikaji dalam sesebuah penyelidikan adalah sangat meluas. Penyelidikan guru / penyelidikan pendidikan mengetengahkan aspek kajian berkaitan isu-isu semasa dalam bidang pendidikan, sama ada isu dalam bilik darjah, masalah yang dihadapi oleh guru / pelajar / pentadbir sekolah mahupun isu pendidikan secara umum. Paling bagus jika dibuat penyelidikan tentang isu-isu pendidikan yang terkini.

Contohnya:

i) Pelaksanaan PPPM 2013 – 2015
ii) Pengintegrasian KBAT dalam PdP
iii) Keberkesanan peta i-think
iv) Konsep pembelajaran & bilik darjah abad ke-21
v) VLE-FROG

Boleh juga jika kita mahu melaksanakan penyelidikan dalam bidang pendidikan, tetapi sesuatu yang di luar PdP.

Sebagai contoh:

i) Perbezaan pencapaian akademik antara pelajar asrama & pelajar harian
ii) Faktor-faktor yang mempengaruhi minat pelajar untuk belajar
iii) Punca-punca penglibatan pelajar dalam kes gengsterisme
iv) Perbezaan pencapaian pelajar dalam peperiksaan sebelum & selepas kursus motivasi
v) Beban tugas guru di sekolah

Tahun lepas, pada 8-10 Sept. 2014, saya menyertai Seminar Penyelidikan Pendidikan Peringkat Zon Sarawak yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Sarawak. Seminar tersebut mengumpulkan para cendekiawan melibatkan guru-guru sekolah, pensyarah-pensyarah IPG serta pensyarah-pensyarah universiti yang membentangkan penyelidikan masing-masing. Antara kertas penyelidikan yang dibentangkan pada tahun lepas ialah:

i) Pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu: Tinjauan terhadap sikap dan minat murid orang asli di negeri Perak.
(Tn. Hj. Mohd Razak b. Mohd Nordin & Pn. Noradzimah bt Abdul Majid, IPGK Ipoh)

ii) Aplikasi peta pemikiran (i-think) dalam pengajaran dan pembelajaran : Suatu tinjauan
(Pn. Jauriah bt Md Azali & En. Muhamad Munir b. Ismail, IPGK Perlis)

iii) Tekanan kerja guru sekolah pribumi daerah Gua Musang
(En. Mohd Zaki b. Ab Rahim & Pn. Kasnimi Mat Seman, IPGK Kota Bharu)

Daripada tajuk kertas penyelidikan yang dibentangkan, boleh dikatakan bahawa penyelidikan pendidikan biasanya berbentuk tinjauan dan kajian kes. Objektif utama sesebuah penyelidikan adalah bukan untuk memikirkan jalan penyelesaian masalah, tetapi bagi mendapatkan data kajian seperti faktor ataupun implikasi sesuatu isu / perkara berkaitan pendidikan. Hasil dapatan kajian ini yang merupakan sesuatu yang sangat penting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Penyertaan dalam seminar ini memberikan pendedahan awal kepada saya tentang pelaksanaan sesebuah penyelidikan pendidikan. Banyak perkara yang dapat ditimba hasil perbincangan bersama pensyarah-pensyarah berkaliber yang langsung tidak lokek ilmu. Akan tetapi, masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

Kesimpulannya, setiap guru sebenarnya sangat digalakkan untuk melaksanakan Projek Inovasi, Kajian Tindakan ataupun Penyelidikan. Hasil kajian yang kita jalankan dapat meningkatkan kemahiran profesionalisme seseorang guru. Melalui hasil kerja penyelidikan dan inovasi, golongan pendidik dapat merangka dan melaksanakan strategi PdP secara lebih berkesan dan kreatif seiring dengan perubahan arus pendidikan global. Jika ada peluang, sertailah seminar / persidangan berkaitan Projek Inovasi / Kajian Tindakan / Penyelidikan. Banyak ilmu yang akan dapat dipelajari di samping suntikan semangat untuk turut sama memperkasakan lagi bidang pendidikan di negara kita.

Selain itu, cari juga sumber-sumber lain yang boleh membantu atau bersama-sama kita dalam lapangan ini. Semasa saya menjalankan kajian tindakan dahulu, saya tunjukkan laporan saya pada pensyarah-pensyarah IPG. Pengetua saya turut memberikannya kepada pengetua di sekolah lain. Dengan ini, kita akan mendapat maklum balas dan kritikan membina daripada mereka yang lebih arif agar kita dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Saya juga banyak mendapat bimbingan daripada rakan sekerja yang sudah punya banyak pengalaman. Yang penting, usah malu bertanya.

Sumber: Cikgu Nurul


jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers