Friday, 17 February 2017

Kikis duit murid sekolah yang belum faham kesusahan ibu bapa

Tags

Gambar hiasan via SuaraTV
BEGITU ramai pengguna mengadu tertekan dengan harga barang sekarang susulan kelemahan pihak berkuasa memantau dan bertindak terhadap peniaga yang mengambil untung melampau dengan menaikkan harga produk dan perkhidmatan.

Namun, paling menyedihkan apabila melihat peniaga mengambil kesempatan mengaut untung dengan mengikis duit poket murid-murid sekolah yang belum faham kesusahan hidup ibu bapa.

Tidak perlu dikupas jualan buku dan produk-produk mengarut kepada murid sekolah, lihat sahaja kepada makanan dan minuman yang dijual di dalam dan luar sekolah. Isu sama juga kini tular di media sosial.

Tidak masuk dek akal aiskrim Malaysia atau aiskrim bancuh dijual pada harga RM1, separuh nasi putih kosong dengan sejenis lauk seperti sedikit sayur goreng atau satu pertiga ikan goreng dijual pada harga RM2.

Belum lagi kisah air sirap gelas kecil RM1, mengalahkan kedai mamak yang menjual sirap gelas besar RM1.50. Saya faham peniaga mahu untung tapi berpada-padalah mengambil duit anak-anak kecil ini.

Janganlah diberi alasan minyak naik, sebelum ini setiap kali minyak turun pun tiada penurunan harga pun.

Jika ibu bapa murid itu orang kaya, nak perah berapa banyak pun mereka tidak kisah tetapi rata-rata murid ini anak orang sederhana atau susah.

Murid sekolah rendah rata-ratanya tidak faham nilai duit dan cuma mahu membeli benda sedap dan mengenyangkan, ada juga yang belum tahu mengira menjadi sasaran mudah.

Bayangkan kekecewaan di mata mereka bila menghulurkan semua duit diberi ibu bapa tetapi hanya mendapat sedikit nasi dan lauk, tidak mengenyangkan dan kadang kala langsung tidak sedap.

Dalam keadaan lapar, mereka terpaksa makan juga atau terus berlapar sehingga tamat waktu persekolahan kerana wang sudah habis digunakan.

Ini bukan tuduhan melulu, saya perhatikan sendiri di sekolah anak saya di sebelah pagi (sekolah agama) dan petang (sekolah kebangsaan), murid-murid membeli makanan yang jelas tidak sepadan dengan harganya.

Harga makanan serupa biasanya dikenakan restoran mahal mahupun di pasar malam tetapi untuk guna standard sama di kantin sekolah mahupun penjaja di luar sekolah amatlah melampau.

Saya sarankan ibu bapa mula menyediakan bekal air dan makanan untuk anak setiap hari tetapi pada masa sama berikan duit jika mereka mahu beli makanan lain.

Sekurang-kurangnya anak-anak kita makan kenyang dan makanan sampingan di kantin atau di luar sekolah menjadi alternatif sahaja jika masih lapar.

AIR MATA IBU
Gombak, Selangor

Sumber: Utusan

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers