Thursday, 9 February 2017

Jangan bandingkan kerja, hasad dengki sahaja terlihat

Tags


KERJA

Apabila gaji pekerja kerajaan naik, pekerja swasta bising. Apabila pekerja bank dapat 6 bulan bonus, sektor lain pula bising. Ironinya, apabila pemain bola sepak tak dibayar gaji, semua senyap. Nampak perasaan hasad dengki, iaitu bising apabila orang dapat lebih, tapi bila orang lain teraniaya, buat tak tau sahaja.

Di media, apabila guru mengeluh beban tinggi, maka netizen kecam kerjaya guru secara berjemaah. Apabila doktor pula mengeluh, juga dikecam secara berjemaah. Semestinya kecaman itu disertai dengan membanding-banding dua kerjaya berbeza. Bandingan 2 kerjaya adalah ibarat membanding epal dan oren, dan kedua-duanya tidak akan pernah sama.

HAZAD

Setiap pekerjaan ada hazad tersendiri. Hazad ialah sesuatu yang berpotensi menyebabkan kebahayaan dan terbahagi kepada lima iaitu fizikal, biologikal, kimia, ergonomik dan psikososial.

Bagi doktor, mereka terdedah kepada kerja shift / oncall, jangkitan kuman, alatan tajam, diherdik pesakit, diviral di media sosial dan lain-lain. Sehari ambil darah 50 pesakit, risiko tercucuk jarum bukan sahaja menyebabkan cedera, malah ada potensi dijangkiti hepatitis B/C dan HIV.

Bagi pekerja kilang atau technician, mereka terdedah kepada mesin berbahaya, ergonomik (contohnya berdiri lama), kerja shift, majikan tidak ambil peduli, dan lain-lain. Ketika bekerja di kecemasan, setiap minggu pasti ada kes putus jari akibat daripada mesin. Bayangkan, dengan gaji yang tidak seberapa, kehilangan jari itu sesungguhnya tidak setimpal. Lagi teruk sekiranya pekerja tidak tahu hak mereka agar dilapor kepada DOSH dan buat tuntutan di SOCSO.

Bagi guru, walaupun seringkali dikatakan kurang beban oleh netizen, namun sebenarnya mereka juga berpotensi untuk stress bukan sahaja dengan kerenah pelajar, tetapi juga ragam ibu bapa. Lihat sahaja viral perangai ibubapa yang kurang kasih sayang membawa isu remeh temeh bagi mencaci guru di media.

Agen hartanah pula, bukan sedikit cacian yang mereka terima. Dituduh naikkan harga rumah, ditipu pelanggan, tidak dibayar komisen dan lain-lain.

Pemandu bas dan lori. Ada yang dipaksa kejar trip untuk syarikat, sehingga berisiko menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa. Mereka juga terdedah kepada hazad ergonomik akibat gegaran kenderaan berat ke atas tubuh badan mereka yang memandu jarak jauh. Jauh, semestinya juga sering berjauhan daripada keluarga.

Banyak lagi. Anda tambah sendiri di ruangan komen.

PENAT

Semua jenis kerja pun penat. Buruh binaan penat guna tenaga. Cikgu penat mendidik anak bangsa. Jaga penat menjaga. Doktor penat merawat dan mendiagnosa. Peguam penat berhujah dan berbicara. Hakim penat menghakimi.

Semua kerja pun ada penat tersendiri. Guna tenaga penat, perah otak pun penat. Jangan ingat mereka yang asyik bermesyuarat itu bersenang lenang. Jangan juga ingat mereka yang menyusun batu bata itu tidak menggunakan minda.

Janganlah suka banding membanding antara kerjaya tetapi jadilah klien yang memahami setiap masa kerana yang bekerja itu pun manusia, sama seperti anda dan saya.

Sumber:
Mohd Fadhli Mohd Fauzi

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers