Wednesday, 15 February 2017

Guru interim gagal temuduga SPP diberi peluang kedua

KUCHING - Kira-kira 202 guru interim di Sarawak yang gagal dalam sesi temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) baru-baru ini diberi peluang untuk temuduga kedua Jun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau tidak pernah berkata bahawa ini adalah 'penamat' kepada guru-guru berkenaan, dan tidak bersetuju dengan sebuah akhbar tempatan yang meletakkan tajuk "End of The Road" sebagai merujuk kepada nasib guru-guru berkenaan.

Beliau menjelaskan selaras dengan polisi 90:10, di mana kerajaan berusaha ke arah menjadikan 90 peratus daripada guru di Sarawak dari kalangan penduduk Sarawak, dan tahun lepas lebih 900 guru interim dari kalangan anak Sarawak menghadiri temuduga SPP.

Beliau berkata, mereka adalah dari kalangan yang sudah memiliki ijazah atau diploma (bukan pendidikan), dan sekiranya mereka berjaya dalam temuduga itu, barulah mereka boleh mengikuti kursus di maktab-maktab pergurusan secara separuh masa.

Kursus itu untuk mereka memperoleh ijazah atau diploma dalam bidang pendidikan, bagaimanapun 202 daripada mereka gagal dalam temuduga, katanya pada sidang media semasa meninjau sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan Jaya di sini hari ini.

Beliau turut membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
jobs from my.neuvoo.com

Sementara itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas berunding dengan Menteri Pendidikan, Abang Johari memutuskan/memberi jaminan bahawa perkhidmatan guru interim yang terlibat tidak akan ditamatkan.

"Bagaimanapun mereka dikehendaki menghadiri satu lagi temuduga dan mereka yang layak akan memenuhi jawatan berkenaan.

"Semua jawatan guru interim akan diisi oleh hanya rakyat Sarawak," katanya.

Menurut kenyataan itu, langkah akan terus diambil sehingga nisbah 90 peratus guru tempatan di Sarawak dicapai.

Merujuk kepada nisbah berkenaan, Mahadzir berkata, bagi sekolah rendah kebangsaan kira-kira 88 peratus kini sudahpun terdiri daripada guru-guru yang berasal dari Sarawak.

Mahdzir yang tiba di Sarawak semalam, menamatkan lawatan kerja dua harinya

petang ini selepas melawat SMK Tabuan Jaya.

Semalam beliau yang melakukan tinjauan mesra di beberapa sekolah di Lundu, kira-kira 100 km dari sini, turut melancarkan program GA1M (Guru Aktif 1Malaysia) di Dewan Sri Pakma, SMK Lundu. - Bernama


Google+ Followers