Wednesday, 15 February 2017

Aksi murid bersila ketika PdPc tular di media sosial

Tags

Sebahagian murid di SK Sijangkang
terpaksa belajar dalam keadaan bersila
sebelum menerima kemudahan kerusi meja
baharu.
SIJANGKANG - Aksi murid belajar dalam keadaan bersila di sebuah sekolah di Dun Sijangkang tular sejak dua hari lalu mendapat perhatian umum sehingga ada mendakwa pemimpin setempat tidak memberi bantuan kerusi dan meja di sekolah berkenaan.

Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau difahamkan kerajaan persekutuan melalui Pengerusi Pembangunan Luar Bandar Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli hadir menggantikan 50 set kerusi dan meja yang disumbangkannya akibat kemudahan yang diberikan sebelum ini tertera gambarnya.

Menurutnya, beliau enggan mengulas lanjut tetapi memaklumkan, bersyukur anak-anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang sudah mendapat kemudahan itu semula.

“Saya tak nak panjangkan isu ini dan biarlah kemudahan yang sampai kepada pihak sekolah dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid-murid.

“Mengenai gambar murid belajar dalam keadaan bersila diminta tak disebarkan lagi dan tak dipanjangkan lagi isu ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pihak sekolah memaklumkan media tidak dibenarkan memasuki sekolah berkenaan ketika proses penghantaran set kerusi meja atas arahan pihak atasan.

Bagaimanapun, mengulas mengenai bantuan 50 set kerusi meja yang disalurkan itu, Sulaiman berkata, ia sebagai kegunaan murid yang terpaksa belajar bersila memandangkan aksi mereka tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp.

Menurutnya, keadaan itu bukan mahu membangkitkan isu, cumanya bila tertera gambar adun berkenaan seolah-olah memberi persepsi lain.

“Saya faham beliau pun banyak menyumbangkan pelbagai kemudahan kepada sekolah dan saya pun banyak juga menyalurkan bantuan atau dana, cumanya tak adalah gambar diletakkan pada kemudahan itu.

“Jika pihak sekolah mahu memohon apa jua bantuan, terlebih dahulu bagitahu Pejabat Pelajaran daerah bagi tidak menimbulkan isu. Ini bila dah jadi, tak seronoklah..,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status kemudahan kerusi meja yang disalurkan Adun Sijangkang berkenaan, beliau berkata, biarlah pihak sekolah membuat keputusan sama ada ingin menggunakannya atau sebaliknya.

“Jika hendak guna sekalipun, gambar yang tertera pada kerusi meja itu kena tanggallah..supaya tak ada isu lain timbul,” katanya.

Sebelum ini, 50 kerusi dan meja turut disalurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Baharu yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Seri Noh Omar apabila pihak sekolah diarahkan mengeluarkan sumbangan Adun Sijangkang berkenaan kerana terdapat gambar adun itu di setiap meja.

Sumber: Sinar Harian

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers