Tuesday, 10 January 2017

PIBGK bantah idea buka Sekolah Kebangsaan untuk kanak-kanak pelarian

Tags

PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan membantah idea membuka sekolah kebangsaan untuk kanak-kanak pelarian, dan berkata perbezaan budaya akan menimbulkan banyak masalah.

Bagaimanapun, ia mengalu-alukan pendaftaran kanak-kanak tanpa kerakyatan di sekolah kebangsaan. Definisi kanak-kanak tanpa kerakyatan ialah salah seorang ibu bapanya rakyat Malaysia tetapi anak itu tidak memiliki dokumen kewarganegaraan.

Pengerusinya, Prof. Madya Mohamad Ali Hassan mencadangkan supaya kerajaan menghantar guru mengajar kanak-kanak berkenaan di kem pelarian.

“Mereka datang daripada pelbagai budaya berbeza. Lebih baik jika kerajaan ambil guru terlatih untuk mengajar di penempatan pelarian,” katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mempunyai sukatan baca-tulis-dan-mengira dan mencadangkan guru menggunakannya untuk kanak-kanak pelarian.

Katanya, pendidikan ialah salah satu cara mengelak kanak-kanak pelarian terjebak dengan jenayah geng.

Bagaimanapun, katanya kos menghantar guru ke kem pelarian agak tinggi.

“Kerajaan perlu cari cara yang praktikal untuk mendidik setiap kanak-kanak tanpa membabitkan kos tinggi,” katanya.

Terdapat 300,000 kanak-kanak pelarian di Malaysia dengan kebanyakannya dari Indonesia, Myanmar dan Filipina.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan kerajaan negerinya akan membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan mendaftar di sekolah awam di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya ibu bapa atau penjaga perlu berusaha mendapatkan dokumen untuk kanak-kanak itu dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan dalam negara.

Kenyataan Ahmad itu dibuat susulan laporan mengenai nasib Tan Yao Chun, 7 tahun, yang tidak dibenarkan mendaftar di sekolah di Changlun kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

Tan lahir di Thailand tetapi bapanya rakyat Malaysia dan ibunya dari Myanmar.

Kementerian Pendidikan berkata kanak-kanak seperti itu dibenarkan mendaftar di sekolah kebangsaan.

Sumber: FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers