Wednesday, 25 January 2017

Pembelajaran awal bermula daripada bayi baru lahir hingga usia 3 tahun

MAHDZIR ketika menyampaikan ucapan
dalam Forum Pendidikan Dunia (EWF) 2017
di London. - Foto NSTP
LONDON: Kementerian Pendidikan akan menyediakan kerangka sistem pembelajaran bagi bayi baru dilahirkan hingga berusia tiga tahun, bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sesuai sebagai persediaan prasekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kerangka itu penting bagi memastikan kesinambungan pendidikan awal kanak-kanak tidak terputus dari usia bayi sehingga sekolah rendah.

Katanya, kementerian akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai pelan pendidikan awal kanak-kanak pada usia itu.

"Di United Kingdom (UK), negara itu ada kerangka jelas mengenai pendidikan awal kanak-kanak dari baru lahir hingga usia tiga tahun.

"Kita mahu meletakkan satu landasan untuk membina kanak-kanak ini. Kalau hendak diikutkan kena ada sistem yang sesuai dan guru juga ada ijazah pendidikan awal kanak-kanak," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Beliau sebelum itu melawat Busy Bees Nursery School Westminster, sebuah pusat penjagaan kanak-kanak dari usia bayi hingga tiga tahun.

Yang turut serta, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Rozai Shafian. Mahdzir berkata, Malaysia boleh mengikut kaedah UK itu kerana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sudah memfokuskan hala tuju pendidikan negara bermula dari prasekolah.

"Jawatankuasa pendidikan awal kanak-kanak sudah diluluskan dan kita akan daftar semua yang berusia tiga tahun ke bawah dengan kerjasama Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, " katanya.

Mahdzir berkata, tumpuan utama dalam PPPM untuk memastikan kemasukan prasekolah mencapai 100 peratus menunjukkan hasil berikutan lonjakan besar.

"Pendidikan prasekolah meningkat kepada 85 peratus pada 2016 berbanding 67 peratus pada tahun 2009 hasil kerjasama strategik dengan banyak pihak termasuk swasta.

"Yang ini sudah berjaya, peringkat tadika kita sudah fokus apa murid perlu capai tetapi yang berusia 0 hingga 3 tahun kita tidak rancang betul-betul, belum ada kurikulum untuk usia ini, " katanya.

Terdahulu, Mahdzir membentangkan ucapan dalam Forum Pendidikan Dunia (EWF) 2017 bertajuk 'Pembangunan Awal Kanak-Kanak'.

Bharian


jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers