Saturday, 7 January 2017

Murid tanpa sijil lahir boleh bersekolah – Mahdzir

Tags

HULU TERENGGANU 6 Jan. – Ke­menterian Pendidikan membenarkan murid yang tidak memiliki sijil kelahiran untuk meneruskan sesi pem­belajaran di sekolah sementara menunggu proses pendaftaran dan dokumentasi itu selesai.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jaminan itu selaras dengan usa­ha untuk memastikan tiada golongan tercicir mendapat kemudahan pendidikan terutama sekiranya salah seorang daripada ibu bapa kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia.

“Ini kerana adalah tidak adil untuk kita menghukum kanak-kanak tersebut di atas kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok di sini hari ini yang terjejas akibat bencana banjir.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir memberitahu, pihaknya akan mengkaji semula keadaan bangunan sekolah dan lokasi yang sering terjejas akibat banjir di Pantai Timur bagi memastikan isu sekolah ditenggelami air semasa musim tengkujuh dapat diatasi.

Katanya, langkah itu terma­suk mengambil kira keperluan untuk meninggikan bangunan sekolah selain memindahkannya ke lokasi baharu.

Beliau berkata, ketika ini terdapat empat sekolah di daerah Rantau Panjang dan Tumpat di Kelantan serta Setiu dan Hulu Terengganu di sini yang dikenal pasti berdepan masalah banjir hampir lima kali dalam setahun.

“Kalau tiada tanah di kawasan itu maka pihak sekolah boleh meninggikan bangunan itu namun tingkat atas sahaja digunakan untuk sesi pembelajaran manakala ruang bawah dikosongkan.

“Ini baru empat kawasan yang kita tengok dan mungkin ada lagi di tempat lain jadi saya terima cadangan pejabat pendidikan daerah untuk meninggikan sekolah dan akan balik berbincang di peringkat kementerian apa yang boleh dibuat,” katanya.


jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers