Tuesday, 24 January 2017

Malaysia minat guna pakai sistem pendidikan awal UK


LONDON 24 Jan. - Malaysia berminat untuk menguna pakai sistem pendidikan awal kanak-kanak yang dilaksanakan di Iqra Voluntary Aided (VA) Primary School, Clapham di sini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat empat faktor penyumbang kepada kejayaan sekolah itu dilihat berpotensi meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Menurutnya, faktor pertama ialah tentang kepimpinan pengurusan yang kuat dan kolektif sama ada antara guru besar atau guru-gurunya.
Kedua pula katanya, infrastruktur yang lengkap sama ada untuk kelas prasekolah atau sekolah rendah.

"Faktor ketiga pula kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan pengurusan Institut Pendidikan, University College of London (UCL) dari segi meningkatkan pengetahuan para guru.

"Keempat pula pemilihan guru yang berdedikasi tinggi dan sanggup bersusah payah dalam memastikan murid mendapat pembelajaran yang berkualiti," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat sekolah tersebut semalam.

Yang turut dalam lawatan ke sekolah yang mempunyai 240 murid itu ialah Timbalan Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian.

Kunjungan tersebut telah disambut oleh guru besar sekolah tersebut, Humaira Salem.

- UTUSAN ONLINE

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers