Thursday, 12 January 2017

Inilah dua guru yang mula-mula asah bakat Faiz Subri

Tags

Shah Alam - Di sebalik kejayaan hebat seorang individu pasti ada seorang guru yang menjadi pencetus, pendorong dan pembimbing yang memulakan segala sehingga lahirnya seorang bintang.

Begitu juga dengan kejayaan bintang bola sepak terkenal yang kini menjadi sebutan dunia, Mohd Faiz Subri.

Bakatnya digilap oleh guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Laksamana sejak di tahun satu lagi.

Norhasri menjadi jurulatih ragbi untuk pasukan Ragbi Kedah.

Guru sukan ketika itu, Norhasri Hasan, 53 merupakan individu yang mula-mula menghulurkan bola kepada Mohd Faiz untuk mengembangkan minatnya.

Katanya, Mohd Faiz memasuki tahun satu di sekolah itu pada 1994 yang ketika itu dia bertindak sebagai guru sukan.

"Selain bola sepak, sekolah ini juga kuat dalam sukan ragbi dan Faiz ketika itu mempunyai dua orang abang yang aktif dalam ragbi.

"Abangnya, Hafizudin dan Azwan amat berbakat dalam ragbi dan pasukan ragbi sekolah ini pernah mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan," katanya.

Menurutnya, Mohd Faiz pula memang minat bermain bola sepak sejak kecil dan dia juga boleh bermain ragbi.

"Tapi sebab fizikalnya yang kecil, saya suruh dia tumpu pada bola sepak saja," katanya.

Kata Norhasri, pencapaian pasukan bola sepak sekolah itu yang dinamakan Team Tunas mula melonjak naik setelah Mohd Yazid Md Zain, 48 dipindahkan ke sekolah itu.

Menurutnya, walaupun Ustaz Mohd Yazid seorang guru Agama Islam tetapi beliau secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi jurulatih.

"Ustaz Yazid yang banyak membantu mengasah bakat pasukan Team Tunas.. saya pula pada 1998 dah pindah sekolah, ketika itu Faiz di tahun lima.

"Faiz memang suka mencuba.. saya tak hairan jika dia boleh buat tendangan seperti itu, yang melanggar hukum fizik. Dengan latihan berterusan, semangat dan sentiasa ingin mencuba.. dia boleh," katanya yang kini bertugas di SK Putat, Jitra.

Kata beliau, Faiz juga seorang yang sangat berdisiplin sejak kecil, sentiasa datang tepat pada waktu untuk latihan.

Lebih menarik, ketiga-tiga beradik ini mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada bapa mereka.

"Setiap kali sesi latihan atau perlawanan, bapanya yang saya panggil Abang Beri sentiasa ada.. dia akan datang awal berbual dengan guru, bertanyakan prestasi anak-anaknya," katanya.
Mohd Yazid (kanan) bersama ayah Mohd Faiz, Sobri Kadir.
Sebagai guru, Norhasri amat berbangga dengan kejayaan anak muridnya dan berharap pencapaian itu dapat memberi rangsangan kepada anak kampung yang lain.

Mohd Yazid jurulatih bola sepak pertama
Mohd Faiz ketika di SK Tunku Laksamana.
Mohd Yazid pula berkata, Faiz seorang yang berbakat sejak kecil, walaupun fizikalnya kecil tetapi dia ligat di di padang.

"Di SK Tunku Laksamana masa tu, semua orang 'gila' main bola, sampaikan bulan puasa pun ada latihan dan kami berbuka ramai-ramai di padang, setiap hari ada latihan. Kami menang banyak perlawanan," katanya yang kini mengajar di SK Seri Muda, Kedah.
Norashikin
Sementara itu, Guru Besar SK Tunku Laksamana, Norashikin Saad berkata, kejayaan Mohd Faiz membakar semangat murid-murid sekolah itu untuk lebih aktif dalam sukan bola sepak.

"Murid-murid sekolah ini jadikan Mohd Faiz sebagai idola dan lebih bersemangat untuk menjalani latihan.. malah mereka yang ingin menyertai pasukan Team Tunas pun semakin ramai.

"Kami, guru-guru di SK Tunku Laksamana sangat berbangga dengan beliau," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Mohd Faiz Subri mengharumkan nama negara setelah memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016.

Sumber: GPS Bestari
jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers