Tuesday, 31 January 2017

Guru perlu layanan sama bukan dibezakan dengan penjawat awam lain

Pengerusi Perkasa Parlimen Parit, Megat Mahmud Megat Yusof berkata, keperluan guru di sekolah bagi memastikan keselesaan mereka amat penting dalam memastikan guru berkenaan boleh memberi khidmat terbaik.

Menurutnya, ada sebilangan sekolah masih tidak mampu menyediakan kemudahan bagi memastikan keselesaan guru seperti bilik guru yang bersesuaian dan sebagainya.

“Ada bilik guru kurang selesa di mana meja guru yang bersambung-sambung, terpaksa berkongsi satu ruangan dengan ramai guru, bilik guru tidak ada penghawa dingin dan sebagainya.

“Sepatutnya keselesaan itu ada kerana pastinya guru juga berdepan tekanan apabila perlu menghadapi pelbagai karenah pelajar.

“Sudah pasti mereka memerlukan waktu-waktu ketenangan dalam keadaan selesa sebelum meneruskan tugasan selanjutnya,” katanya yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri.

Megat Mahmud berkata, profesion guru tidak harus dibezakan kerana tugas guru juga penting bagi mendidik anak bangsa.

“Sepatutnya tidak ada perbezaan guru dengan penjawat awam lain dalam menyediakan kemudahan atau keperluan yang selesa untuk mereka.

“Memang jumlah guru agak ramai namun mungkin alternatif tertentu boleh dicari bagi memastikan keselesaan guru di sekolah lebih baik.

“Saya harap pihak berkaitan mengambil kisah berkenaan perkara ini kerana kita sedia maklum tugas dan beban guru pada masa kini amat berat sekali,” katanya.

Sumber: GPS Bestari

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers