Friday, 27 January 2017

Aznil Dilantik Jadi Ikon Sekolah Bimbingan

TERKENAL dengan personaliti mesra kanak-kanak, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi menerima penghargaan apabila dilantik secara rasmi sebagai Ikon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) oleh Kementerian Pendidikan, semalam.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Nil berkongsi kegembiraan tersebut menerusi akaun Instagramnya apabila menerima sijil pelantikan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Media tempatan melaporkan pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira peranan dan sumbangan Aznil mendampingi masyarakat serta sikap ambil kisah beliau terhadap kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Aznil yang sudah lebih 27 tahun terbabit dalam dunia penyiaran dan hiburan menganggap perlatikan tersebut sebagai peluang untuknya memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Sudah tiba masanya keutamaan dalam kerjaya itu berubah dan menyumbang kepada masyarakat.

“Saya akan cuba sedaya mungkin beri cahaya kepada murid-murid dengan menarik lebih banyak perhatian, bantuan termasuk ajak lebih ramai personaliti bantu SBJK melalui pengaruh dan populariti masing-masing,” katanya dipetik Mstar.

SBJK yang ditubuhkan pada 2013 bertujuan menyediakan akses pendidikan formal dalam persekitaran yang kondusif bagi kanak-kanak jalanan dan terpingir.

Mereka dibantu supaya dapat mengurangkan kadar keciciran, memberi peluang membentuk laluan kerjaya serta membina insan yang berilmu, berkemahiran dan boleh berdirkari.

Perlantikan Aznil berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2018 dijangka dapat memberi sinar baru kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak terpingir dan miskin.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers