Tuesday, 24 January 2017

14,413 guru di Negeri Sembilan terima pelan data

SEREMBAN – Seramai 14,413 guru daripada 317 sekolah di negeri ini menerima Pelan Data Guru 1Bestarinet Fasa 2 pada Majlis Perasmian Penyerahan Pelan Data Guru dan Peranti Yes 4G Peringkat Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab. Jalil berkata, projek perkhidmatan 1BestariNet yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan bermatlamat untuk meningkatkan lagi kualiti Pembelajaran dan Pengajaran di semua sekolah dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di dalam pendidikan.

Katanya, pelan data guru 1Bestarinet Fasa 2 ini adalah pelan 4G LTE yang akan memberikan kuota 2GB rangkaian internet bulanan LTE dan kuota 2GB data jalur lebar kepada semua guru di sekolah-sekolah penerima 1Bestarinet 4G Zoom seluruh Malaysia.

“Di Negeri Sembilan sebanyak 317 sekolah dengan talian 4G 1BestariNet setakat ini akan menerima Pelan Data 2GB bersama Telefon YES Altitude yang melibatkan seramai 14,413 guru.

“Ini adalah bagi tujuan memudah dan mempertingkat pengalaman pengajaran dan pembelajaran, Pelan Data ini boleh digunakan pada telefon pintar YES 4G LTE iaitu untuk rangkaian data LTE, dan semua peranti aktif jalur YES iaitu untuk rangkaian data jalur lebar,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penyerahan Pelan Data Guru dan Peranti Yes 4G Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Sekolah Datuk Abdul Razak Seremban di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah YTL Communications Sdn Bhd, Shahirol Amran.

Beliau berkata, sejajar dengan arus Pendidikan Abad ke 21, Projek Perkhidmatan 1BestariNet ini adalah bertepatan dengan visi Kementerian Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan iaitu anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

Katanya, 1BestariNet Fasa 2, merupakan kesinambungan Fasa 1; dengan penambahbaikan perkhidmatan bagi memastikan penyelesaian ICT yang disediakan berupaya memenuhi keperluan pengguna bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah.

“Justeru, guru haruslah berani menggunakan teknologi ICT dalam penyediaan bahan pembelajaran serta pendekatan ICT dalam pengajaran untuk menarik minat generasi Y agar menjadi lebih efektif dan relevan.

“Walaupun penggunaan servis ini adalah tanpa sekatan tetapi masih di bawah pemantauan oleh pihak kementerian. Namun begitu, kementerian percaya guru-guru tidak akan menyalahguna kemudahan yang disediakan,” katanya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers