Monday, 12 December 2016

Transformasi IPG lahirkan guru terlatih bertaraf global

Tags

PUTRAJAYA 11 Dis. - Visi Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah untuk menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan guru menerusi program pembangunan yang dinamik sejajar misi melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik.

IPG kini berhadapan cabaran besar untuk membentuk warga pendidik yang boleh memenuhi keperluan pendidikan negara sejajar perkembangan teknologi masa kini. Bagi mencapai hasrat itu, IPG perlu dirombak bagi memacu lonjakan kecemerlangan dalam mendepani aspek peningkatan kualiti guru di Malaysia.

Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Azma Mahmood berkata, Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyatakan bahawa IPG perlu dirombak secara menyeluruh ke arah menjadi institusi latihan guru bertaraf dunia. Beliau menjelaskan bahawa anjakan keempat PPPM 2013-2025 telah mengariskan transformasi keguruan sebagai profesion pilihan dengan menjadikan IPG sebagai sebuah institusi yang mampu meningkatkan standard pendidikan di Malaysia menerusi pembangunan pendidikan guru.

“Kerajaan pada 2012 telah mengumumkan bahawa IPG perlu dirombak, maka selepas itu satu kajian mendalam telah diadakan melalui pelbagai pendekatan seperti sesi pengumpulan input dan pandangan Kajian Transformasi IPG ini telah dilaksanakan oleh pakar perunding antarabangsa, Parthenon – Ernst & Young (EY) dan pelan tindakan yang dihasilkan telah mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada September 2015.

“Sebanyak 9,000 pelajar, pensyarah dan alumni IPG terlibat dalam kajian ini termasuk penanda arasan terhadap tujuh buah negara yang terbaik dalam pendidikan guru,” katanya. Lanjutan itu, Dr. Azma berkata, satu pelan yang dinamakan sebagai Transformasi IPG telah dirangka bagi tempoh 10 tahun iaitu bermula pada 2016 sehingga 2025 dengan berasaskan lima teras utama iaitu: “Transformasi kepimpinan dan organisasi, penyusunan semula kampus, kualiti pensyarah, penyelidikan dan persekitaran pembelajaran,” jelas beliau.
Beliau berkata, sebanyak 40 inisiatif telah dikenal pasti untuk pelaksanaan yang terbahagi kepada tiga peringkat untuk tempoh selama 10 tahun.

Katanya, peringkat pertama bermula dari 2016 hingga 2017 melibatkan 18 inisiatif, peringkat kedua (2018-2020) melibatkan 15 inisiatif manakala tujuh lagi inisiatif untuk peringkat ketiga bermula 2021 hingga 2025.

Pada peringkat pertama (2016-2017), sepuluh daripada 18 inisiatif yang telah digerakkan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun semasa. “Lapan lagi inisiatif dalam peringkat pertama akan terus digerakkan bagi mencapai sasaran menjelang 2017,” katanya.

Jelasnya, semua pencapaian inisiatif yang terkandung dalam transformasi itu dinilai dan dipantau Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) Kementerian Pendidikan bersama Pejabat Pengurusan Transformasi (Transformation Management Office) IPG.

“Keseluruhan cadangan pelaksanaan Transformasi IPG telah mendapat kelulusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada September 2015,” jelas beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa impak pelaksanaan Transformasi IPG iaitu berupaya menghasilkan pendidik yang berkualiti dan memenuhi aspirasi sistem pendidikan Malaysia. Katanya, pengajaran abad ke-21 memerlukan strategi pembelajaran dan pengajaran yang berkesan di dalam bilik darjah. “Guru perlu menekankan aspek membina pedagogi pembelajaran abad ke-21 dalam proses mereka bentuk pengajaran selain aspek prasarana fizikal.

“Maka Transformasi IPG ini bertepatan dengan usaha itu bagi menyediakan guru terlatih berkualiti dan diiktiraf di peringkat global,” katanya. Dalam melaksanakan Transformasi IPG, Dr. Azma berkata, pihaknya berdepan beberapa cabaran. Namun, untuk menjayakan agenda transformasi, warga IPG perlu berfikir secara positif dan bersatu untuk menyokong agenda perubahan demi masa depan pendidikan negara. Menurutnya, warga IPG juga perlu menjadi agen perubahan dan bersama-sama memacu transformasi organisasi menjadi institut perguruan yang unggul.


jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers