Tuesday, 20 December 2016

Tak bijak PTPTN kecuali bayaran balik graduan kelas pertama

KUALA LUMPUR: Pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan ijazah kelas pertama bukan langkah bijak kerana ganjaran itu hanya menguntungkan golongan berpendapatan menengah atas yang mampu melangsaikan hutang mereka, kata ahli Parlimen Serdang.

Ong Kian Ming berkata, pengecualian itu juga bukan langkah progresif, memandangkan PTPTN menghadapi masalah dana dan kerugian berterusan saban tahun.

“Kajian yang dilakukan di negara membangun menunjukkan golongan berpendapatan menengah atas selalunya berpeluang besar mendapat keputusan kelas pertama.

“Jika kita ambil sampel pelajar dapat kelas pertama, katakanlah daripada 10 ribu, ada 100 pelajar dapat kelas pertama. Daripada 100 orang itu, kebanyakan mereka yang mendapat keputusan kelas pertama adalah golongan berpendapatan menengah ke atas.

“Golongan berpendapatan menengah atas mempersiapkan diri sebelum melangkah ke universiti. Mereka memperoleh banyak sumber, seperti laptop dan bahan bacaan dibekalkan sejak kecil,” katanya pada forum bertajuk “Sustainability of the PTPTN loan scheme” anjuran Penang Institute, malam tadi.



Wakil rakyat DAP itu mendakwa, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan graduan yang mendapat ijazah kelas pertama juga dibayar gaji tinggi berbanding pelajar lain.

“Saya tidak kata semua kelas pertama mendapat bayaran gaji tinggi, tetapi mereka yang dapat kelas pertama sudah tentu mendapat bayaran gaji tinggi daripada mereka yang tidak dapat kelas pertama.

“Peluang untuk mereka yang tidak mendapat keputusan kelas pertama membayar balik pinjaman rendah memandangkan gaji mereka rendah. Jadi, pengecualian kepada kelas pertama seolah-olah membantu keluarga berpendapatan menengah atas.”

Katanya, pada 2015, pinjaman PTPTN berjumlah RM841 juta diberikan pengecualian bayaran balik, bagaimanapun ia bukanlah masalah serius.

“Apa yang saya hendak katakan ialah ia bukanlah polisi progresif. Jika mahu memberi ganjaran kepada graduan kelas pertama, PTPTN harus memikirkan kosnya.”

Khamis lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching dilaporkan berkata, seramai 1,574,700 peminjam PTPTN gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM32.07 bilion.

Katanya, PTPTN memberi pinjaman berjumlah RM59.67 bilion kepada 2.6 juta peminjam sehingga November lalu.

Bagi tempoh sama juga, PTPTN hanya menerima bayaran balik berjumlah RM10.07 bilion daripada 1.2 juta peminjam berbanding RM18.84 bilion yang sepatutnya dikutip daripada 1.9 juta peminjam.

Sumber: FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers