Thursday, 22 December 2016

Smart Control atasi masalah ponteng kelas

Tags

CARA lama menggunakan kad keluar kelas yang mudah rosak memberi inspirasi kepada sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan Meru Jalan Tap, Klang, Selangor untuk mencipta Smart Control iaitu sistem kad kebenaran keluar masuk kelas secara elektronik yang memberikan maklumat bilangan murid ketika sesi pembelajaran.

Ketua Kumpulan Smart Control, Firzana Syairah Hussin, 12, berkata, idea mengenai produk tersebut diperoleh awal tahun lalu ketika di dalam kelas.

"Sistem sebelum ini tidak dapat mengesan jumlah bilangan sebenar murid yang berada di dalam kelas. Kami terfikir, pasti ada segelintir murid mengambil kesempatan ponteng kelas dan melakukan aktiviti lain di luar kelas tanpa pengetahuan guru.

“Jadi dengan adanya Smart Control, ia dapat memberi kebaikan terutama kepada guru untuk mengetahui bilangan sebenar murid ketika sesi pembelajaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Firzana menjelaskan, Smart Control berfungsi apabila kad disentuh dengan kotak Smart Control ketika keluar kelas.

“Ada magnet yang boleh diakses di belakang kad untuk dibaca oleh kotak sistem dan menyatakan berapa bilangan pelajar menggunakan kad tersebut,” katanya.

Smart Control telah memenangi pingat emas di pertandingan Inovasi peringkat Antarabangsa di Indonesia, baru-baru ini.

Muncul sebagai produk pertama yang menawarkan fungsi pemantauan murid, Smart Control dilihat sebagai alat yang bertepatan serta sesuai bagi kegunaan sekolah atau pusat pengajian tinggi.

Mudah diguna, tahan lasak

Seorang lagi ahli kumpulan tersebut, Sarah Adriani, 11, berkata, Smart Control hanya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan sembilan kad.

Namun katanya, hanya tujuh sahaja digunakan manakala dua lagi dijadikan sebagai kad simpanan.

"Empat kad untuk murid lelaki, empat kad untuk murid perempuan dan satu kad untuk guru. Sembilan sahaja kad untuk satu kelas bagi mengelak jumlah murid yang ramai berada di luar kelas.

“Ada tiga warna yang bezakan kad iaitu biru, merah dan kelabu. Kad utama (warna kelabu) akan dipegang oleh guru yang akan reset semula sistem Smart Control apabila jumlah limit murid yang menggunakan kad mencapai jumlah maksimum," katanya.

Jelasnya, kad dicipta itu juga tidak mudah rosak atau hilang. Selepas penggunaan, kad akan digantung semula pada sudut disediakan.

Sementara itu, guru penasihat projek tersebut, Hay Quee Kee berkata, dia banyak membantu dalam mengembangkan serta merealisasikan idea murid-muridnya.

“Smart Control adalah idea murid-murid sendiri di mana kami sebagai guru dan ibu bapa akan membantu mereka menghasilkannya.

“Alatan yang digunakan juga tidaklah mahal kerana ia hanya asas dalam peralatan elektronik yang menggunakan bateri, magnet, wayar, lampu dan suis, di mana harganya juga sangat berpatutan untuk murid sekolah rendah,” katanya.

Menurut Quee Kee, pihak sekolah juga dalam perancangan untuk mempatenkan Smart Control.

“Sekiranya sudah dipatenkan, ia mungkin akan menarik minat mana-mana sekolah di negara ini untuk menggunakannya bagi mengatasi masalah berkaitan.

“Pada masa yang sama, produk tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa agar dapat di sesuaikan dengan pelbagai situasi,” katanya.

Selain itu, Quee kee berkata, dengan adanya aktiviti seperti itu, ia menggalakkan murid untuk lebih berani tampil dengan idea baharu melalui pemerhatian mereka.

“Murid yang menyertai aktiviti inovasi ini dilihat lebih yakin serta berani untuk tampil ke hadapan.

"Kejayaan Smart Control ini turut memberi peluang mereka menyertai beberapa pameran inovasi dengan kemenangan tersendiri," katanya dan yakin alat itu boleh pergi lebih jauh.

Sinar Harian

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers