Friday, 9 December 2016

Saranan Menteri Untuk Guru Berusia 40 Tahun Ke Atas

Tags

JASIN - Kementerian Pendidikan menyarankan guru-guru di negara ini yang berusia 40 tahun dan ke atas supaya menjalani ujian kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia penting bagi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan memuaskan.

“Ia bukan paksaan sebaliknya hanya sebagai garis panduan kepada warga pendidik yang mempunyai tanggungjawab besar terhadap anak bangsa. Ada di antara mereka hanya menjalani ujian kesihatan di awal permohonanan untuk bergelar seorang guru.

“Jika permohonan tersebut dilakukan ketika mereka berusia 20 tahun, saya yakin kondisi mereka tidak sama sekarang," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia sekadar saranan sahaja sementelah ramai guru bersara yang mempunyai tahap kesihatan kurang baik.

“Tetapi, bagi pendidik yang masih berkhidmat, mereka di bawah tanggungjawab pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media program guru bersama masyarakat peringkat negeri Melaka di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin.

Sementara itu, Mahdzir berkata, sehingga kini lebih 10,000 guru bersara di negara ini setiap tahun.

“Sekarang dah ada satu golongan baru iaitu guru bersara.

"Golongan ini mempunyai akses sangat aktif dengan masyarakat, walaupun sudah bersara mereka masih terlibat dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan banyak lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa), beliau berkata, terdapat peningkatan peratus kelulusan bagi peperiksaan tersebut.

“Setakat ini kita lihat ada peningkatan skor bagi pelajar di negara ini. Gred dan purata kelulusan lebih baik daripada sebelum ini dan kita harap ia akan lebih cemerlang pada tahun berikutnya,” katanya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers