Wednesday, 7 December 2016

Pencapaian PISA Malaysia juga meningkat

PUTRAJAYA 6 Dis.- Pencapaian sistem pendidikan Malaysia seperti dilaporkan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2015 secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pencapaian itu berdasarkan peningkatan skor mata tiga domain yang diukur iaitu literasi saintifik, literasi bacaan dan literasi matematik.

Beliau menjelaskan, skor literasi saintifik yang dicapai adalah 443 mata iaitu meningkat 23 mata daripada PISA 2012.

"Untuk literasi bacaan pula, skor dicapai adalah 431 mata yang merupakan peningkatan 33 mata berbanding tiga tahun lalu.

"Literasi matematik menunjukkan skor dicapai adalah 446 mata iaitu meningkat sebanyak 25 mata," katanya dalam sidang akhbar pengumuman PISA 2015 di sini hari ini.

Amin menjelaskan, PISA merupakan kajian pentaksiran piawaian antarabangsa bagi mengukur tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar berusia 15 tahun ke atas melalui tiga domain utama iaitu literasi bacaan, literasi matematik dan literasi saintifik.

Katanya, PISA merupakan satu-satunya kajian pendidikan antarabangsa yang mengukur pengetahuan dan kemahiran pelajar berumur 15 tahun iaitu satu tahap usia di kebanyakan negara berada di penghujung tempoh pendidikan. -UTUSAN ONLINE
jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers