Saturday, 10 December 2016

PBS Hanya Dilaksana Jika Semua Pihak Setuju

Tags

BATU PAHAT 9 Dis. - Pentaksiran Berasaskan Se­kolah (PBS) yang dicadang menggantikan Ujian Penca­paian Sekolah Rendah (UPSR) bo­leh diperkenalkan dalam tempoh kurang lima tahun sekiranya semua pihak bersetuju.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian itu perlu mengumpul maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan warga pendidik untuk dimasukkan dalam kajian yang akan dilakukan terhadap pengenalan PBS.

Menurutnya, kajian itu akan dimulakan tahun depan dengan melibatkan semua pihak terma­suk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pihak berkaitan lain serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

“PPD akan memainkan pera­nan mereka untuk bertemu de­ngan setiap PIBG yang berada di kawasan masing-masing bagi mendapatkan input serta maklum balas yang kita jangkakan mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Selepas tempoh itu, barulah kita akan menilai sistem PBS ter­babit, tetapi bagaimanapun akhir sekali ia terpulang kepada maklum balas masyarakat khususnya ibu bapa sama ada mereka mahukan PBS atau UPSR yang berasaskan peperiksaan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan merangkap Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin.

Tambah Mahdzir, kerajaan me­­mang bercadang untuk meman­suhkan UPSR dan menggantikan­nya dengan PBS bagi mengurangkan tekanan ke atas murid selain menilai pencapaian mereka dengan lebih menyeluruh.

“Mengikut format UPSR sekarang, pelajar dinilai hanya menerusi akademik manakala de­ngan format PBS, beberapa aspek lain turut dititikberatkan antara­nya akademik, jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik seperti yang dilaksanakan melalui Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Kalau pelajar akademiknya baik, kokurikulum baik, sukan baik, kemudian sahsiah diri baik, (PBS) akan menilai semua sekali, itulah penilaian yang lengkap untuk semua pelajar,” katanya.
jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers