Monday, 19 December 2016

Pasca PT3 bukan tahun bulan madu

Gambar hiasan
Hari ini keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumumkan, sekali gus menyaksikan pelbagai aksi dan gelagat calon ketika memperoleh keputusan.

Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang pastinya girang, namun jika sebaliknya tidak perlu berterusan diselubungi kekecewaan sebaliknya perlu berazam memperbaiki pencapaian ketika di tingkatan empat.

Bagaimanapun, boleh dikatakan sebahagian besar pelajar sering alpa kerana dibelenggu tanggapan kononnya tingkatan empat adalah tahun ‘bulan madu.’

Tingkatan empat juga sering dianggap tahun relaks dalam pengajian dan tidak perlu bersusah payah melipat gandakan usaha kerana masih terlalu lama untuk membuat persiapan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tanggapan salah menyebabkan ramai pelajar terpaksa menggandakan ulang kaji ketika memasuki tingkatan lima sehingga mencetuskan tekanan menjelang peperiksaan SPM.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Siti Eshah Mokshein berkata, tanggapan itu perlu diperbetulkan bagi memastikan pelajar dapat merencanakan masa depan dengan lebih baik dan terancang.

Menurutnya, tingkatan empat bukan tahun ‘bulan madu’, sebaliknya tempoh kritikal untuk pelajar membuat pelbagai perancangan dan persediaan untuk menghadapi SPM, seterusnya merencana masa depan.

“Saya tak nafi ramai pelajar masih dibelenggu dengan tanggapan itu hingga membuatkan mereka kurang menumpukan perhatian pada pelajaran, belajar sambil lewa atau kurang dedikasi ketika belajar.

“Hakikat yang perlu diketahui ialah tingkatan empat adalah tahun terpenting untuk membuat perancangan dengan teratur supaya tidak tergesa-gesa kemudian hari.

“Tempoh dua tahun bukan lama. Pelajar hanya mempunyai masa singkat untuk mengulang kaji dan membuat persediaan menghadapi SPM serta perancangan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata, sama ada pelajar memperoleh keputusan cemerlang, sederhana atau sebaliknya dalam PT3, perancangan perlu dilakukan supaya tidak berlaku pembaziran.

“Pembaziran di sini bermaksud dari segi perancangan masa depan kerana dalam tempoh dua tahun, pelajar sekurang-kurangnya sudah memulakan langkah ke arah itu.

“Tak kira apa juga aliran diikuti, mereka perlu melakukan persediaan supaya apabila tiba masanya, mereka tidak gopoh-gapah yang boleh merugikan diri sendiri,” katanya.

Dr Siti Eshah berkata, antara persediaan yang perlu dilakukan ialah memulakan langkah mengulang kaji subjek sukar yang memerlukan pemahaman dan usaha berterusan.

Menurutnya, sebahagian soalan SPM dalam subjek Matematik, Sejarah, Biologi dan Sains berdasarkan topik yang diajar ketika berada di tingkatan empat.

“Walaupun SPM diduduki ketika di tingkatan lima, ini adalah subjek teras yang memerlukan momentum secara berterusan.

“Dengan menguasai semua topik dalam subjek diajar ketika di tingkatan empat, bebannya ketika di tingkatan lima tentu berkurangan.

“Sebab itu salah jika ada pelajar anggap tingkatan empat sebagai tahun berbulan madu, sebaliknya mereka perlu berusaha lebih keras membuat persiapan,” katanya.

Dr Siti Eshah berkata, tingkatan empat boleh ditakrifkan sebagai landasan pertama melangkah alam pendidikan lebih tinggi.

Ini kerana proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di tingkatan empat biasanya sudah menghendaki pelajar untuk berfikir lebih matang.

“Selain menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang kini diguna pakai dalam sistem pendidikan negara, tingkatan empat turut dikaitkan sebagai bermulanya proses pembelajaran secara matang.

“Dengan kata lain, bukan saja belajar berfikir secara KBAT, malah mereka juga akan melalui proses PdP yang lebih dewasa.

“Jika tidak menggunakan masa ini dengan baik, mereka yang rugi,” katanya.

Mengenai gender pula, beliau berkata, tiada beza antara pelajar perempuan atau lelaki, tapi berdasarkan beberapa kajian, pelajar perempuan lebih memanfaatkan peluang.

“Walaupun ia bersifat subjektif, berdasarkan peratusan pencapaian SPM setiap tahun, pelajar perempuan dilihat mendominasi.

“Dominasi itu disumbangkan beberapa faktor, antaranya jumlah pelajar, kemampuan atau cara mengulang kaji, kematangan dan sebagainya.

“Boleh dikatakan, kebanyakan pelajar perempuan memanfaatkan masa dua tahun ini untuk membuat persediaan menghadapi SPM sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau juga menasihati pelajar memilih aliran yang selari dengan minat, bukan kerana terpengaruh dengan rakan atau desakan ibu bapa.

“Pastikan pemilihan aliran dibuat kerana minat dan kemampuan, bukan kerana faktor lain.

“Pemilihan berdasarkan keputusan orang lain boleh mendatangkan banyak masalah, malah menyumbang kepada kegagalan.

“Justeru, ukur baju di badan sendiri. Ibu bapa boleh memberi panduan, tapi bukan memaksa anak mengikut kemahuan mereka,” katanya.
jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers