Thursday, 8 December 2016

Lebih 71,000 penjawat awam bersara awal

KUALA LUMPUR - Permohonan 71,700 penjawat awam untuk bersara awal diluluskan dari 2006 sehingga kini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany.

Devamany berkata, antara faktor penjawat awam memilih bersara awal disebabkan masalah kesihatan selain menceburi bidang perniagaan, mendapat tawaran pekerjaan lain, tidak mampu menampung bebanan tugas yang ada dan ingin memberi fokus kepada keluarga.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Boon Som Inong mengenai bilangan dan punca penjawat awam memilih untuk bersara awal bagi tempoh 10 tahun serta implikasi kelancaran kepada mutu perkhidmatan awam di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bilangan permohonan bersara awal yang tinggi itu tidak memberi implikasi kepada kelancaran dan mutu perkhidmatan awam di negara ini.

"Ini kerana jawatan yang ditinggalkan oleh pesara akan diisi dengan kenaikan pangkat pegawai sedia ada atau melalui pelantikan baharu," katanya pada Persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 1,464,702 jawatan dalam perkhidmatan awam dan daripada jumlah itu hanya 1,264,842 telah diisi, sehingga Oktober lepas. - Bernama

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers