Friday, 9 December 2016

Laras Bahasa: Kolaboratif atau Kolaborasi?

SEJAK akhir-akhir ini, pelbagai pihak menjalinkan kerjasama bagi menjayakan sesuatu program. Melalui kerjasama ini, maka muncullah pelbagai istilah yang merujuk kerjasama, misalnya jalinan mesra, permuafakatan, gandingan atau kolaborasi.

Perkataan “kolaborasi”, digunakan secara leluasa bagi menyatakan maksud kerjasama, namun perkataan tersebut ditukar menjadi “kolaboratif” apabila ada pihak yang mengatakan bahawa penggunaan kolaborasi membawa maksud yang negatif.

Adakah benar perkataan “kolaborasi” membawa maksud yang negatif dan adakah benar perkataan “kolaboratif” membawa maksud yang positif?

Aktual, perkataan “kolaborasi” dan “kolaboratif” berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu collaboration dan collaborative.

Berdasarkan kamus bahasa Inggeris, collaboration bermaksud “kerjasama”, manakala collaborative bermaksud sesuatu yang bersifat kerjasama. Kedua-dua sebenarnya membawa maksud yang sama, iaitu kerjasama tanpa menyatakan kerjasama ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Perbezaan sebenar antara kedua-dua perkataan tersebut hanyalah dari segi golongan kata. Kolaborasi atau collaboration berada dalam golongan kata nama (KN), manakala kolaboratif atau collaborative berada dalam golongan kata adjektif (KA).

Jika perkataan kolaborasi dan kolaboratif diberi imbuhan –ber contohnya, perkataan-perkataan tersebut akan tergolong dalam golongan kata kerja (KK), iaitu berkolaborasi dan berkolaboratif.

Jika huraian ini diterima, bermakna kedua-dua perkataan ini, iaitu kolaborasi dan kolaboratif boleh diterima pakai secara bersilih ganti tanpa risau akan ketepatan maksudnya. Sila teliti ayat-ayat yang berikut:

1. Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti mengadakan kolaborasi (KN) dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di daerah itu.

2. Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti mengadakan kolaboratif (KA) dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di daerah itu.

3. Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti berkolaborasi (KK) dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di daerah itu.

Hujah-hujah ini bukan mudah untuk diterima oleh pencinta bahasa Melayu yang selama ini menjadikan Kamus Dewan sebagai rujukan utama bagi merungkaikan permasalahan bahasa seperti ini.

Berdasarkan Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, kolaborasi bermaksud bersubahat atau kerjasama bagi tujuan jahat, manakala kolaboratif bermaksud kerjasama yang baik.

Jika diteliti maksud kedua-dua perkataan secara mendalam, kolaborasi dan kolaboratif termasuk dalam golongan KN. Sila teliti ayat-ayat berikut:

4. Kolaborasi (KN) antara sekumpulan penjenayah telah berjaya memecahkan mesin pengeluaran wang automatik di bank itu.

5. Kolaboratif (KN) antara Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu berjaya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di daerah itu.

Ayat 4 dan Ayat 5 menunjukkan perbezaan jelas maksud kolaborasi dan kolaboratif. Ayat 4 bermaksud kerjasama ke arah kejahatan, manakala Ayat 5 menunjukkan kerjasama ke arah kebaikan.

Persoalan yang sedang bermain-main dalam benak fikiran pengguna bahasa adalah sama ada mahu mengguna pakai kamus Inggeris ataupun Kamus Dewan sebagai rujukan.

Pada hemat penulis, Kamus Dewan masih relevan dalam menyelesaikan kekeliruan ini. Penyusun Kamus Dewan merupakan bijak pandai bahasa yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Mereka bukan sahaja pengguna bahasa biasa, tetapi mereka merupakan pengkaji bahasa, bukan sahaja bahasa Melayu, malah bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa lain.

Jangan sesekali kita lupa bahawa dalam bahasa Melayu terdapat proses peluasan makna dan penyempitan makna bagi sesuatu kata pinjaman. Antara contoh perkataan yang mengalami proses penyempitan makna ialah perkataan “pondok”.

Perkataan ini berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud hotel, tetapi masyarakat Melayu mendefinisikan pondok sebagai rumah kecil. Dalam konteks peluasan makna pula, perkataan “madrasah” yang suatu ketika dahulu dikatakan tempat untuk solat semata-mata atau “surau”, tetapi kini mengalami peluasan makna menjadi sekolah atau tempat untuk murid menuntut ilmu.

Dalam konteks perkataan kolaborasi yang makna asalnya ialah kerjasama, kemungkinan yang berlaku ialah penyempitan makna, iaitu daripada maksud kerjasama sama ada positif ataupun negatif kepada kerjasama negatif sahaja. Oleh sebab itu jadikan Kamus Dewan sebagai rujukan dalam perbincangan ini.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers