Monday, 12 December 2016

'Jangan hairan murid kelas akhir menyerlah apabila mereka dewasa kelak'

Tags

Sekolah sama, guru sama, buku sama, waktu belajar sama, tetapi apa yang membezakan antara pelajar adalah tahap kemampuan pelajar dalam menerima pendidikan.

Sejak awal persekolahan di tahun satu dan seterusnya, pihak sekolah telah mengadakan ujian saringan untuk mengenal pasti kemampuan pelajar tersebut. Ini memudahkan kalangan guru untuk mendekati pelajar dalam menyampaikan ilmu secara berkesan.

Kelas awal diduduki pelajar ‘pintar’ dan suasana pembelajarannya lebih tenang dan fokus. Jika ditinjau kelas akhir, ada sahaja pelbagai suara yang mengisi suasana pembelajaran, terutama apabila guru tiada di dalam kelas.

Namun jangan hairan jika ada kalangan pelajar di kelas akhir lebih menyerlah pencapaiannya apabila mereka dewasa kelak. Ini diakui oleh Penolong Kanan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam, Nordin Ahmad Kadri.

Beliau yang berpengalaman mengajar di kelas akhir sekolah tersebut sejak 20 tahun lalu, telah bertemu semula bekas pelajarnya yang kini bergelar doktor, pensyarah dan ahli perniagaan berjaya.

"Mereka sedar pernah nakal di zaman belajar dan pernah kena rotan. Namun mereka baik dengan saya. “Mengimbas kenangan di awal penubuhan SMK 18 pada Disember 1990 di mana saya mula mengajar di sini dua tahun selepas itu. Pencapaian sekolah ini ketika itu sangat jauh berbeza berbanding sekarang, terutamanya dalam bidang akademik dan disiplin.

“Ketika itu, boleh dikatakan tahap sekolah ‘zero’ tetapi kini hanya pelajar cemerlang dan berkelayakan diterima masuk belajar di sini. Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana membantu sekolah untuk dijadikan kelas aliran agama (KAA). “Bermula 2015, SMK Seksyen 18 menjadi sekolah KAA sepenuhnya.

Kini sekolah kami menerima banyak permintaan ibu bapa untuk menghantar anak bersekolah di sini. Apa yang kami sasarkan adalah mendapat kedudukan band terbaik melalui pencapaian peperiksaan, kokurikulum dan disiplin,” katanya.

Cabaran guru

Nordin berkata, kebiasaannya pelajar dimasukkan kelas mengikut pencapaian mereka dalam ujian saringan di awal persekolahan. Bagaimanapun di SMK Seksyen 18 tidak menonjolkan kelas awal atau akhir. Ini kerana kemasukan pelajar ke sini adalah berdasarkan kelayakan dan pencapaian cemerlang di peringkat sekolah rendah.

Menurutnya, guru juga tidak diletakkan kelas mengikut prestasi. Beliau sendiri mengajar di kelas awal dan kelas hujung. Ini memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk diajar guru yang berdedikasi dan berkualiti.

”Apa yang membezakan kalangan pelajar hanya dari segi sikap. Jika pelajar rajin belajar, cikgu bersemangat mengajar. Namun guru yang mengajar kelas hujung lebih bijak, kreatif dan bermotivasi untuk menarik minat pelajar untuk menguasai pelajaran.

"Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk program Perkampungan Ilmu yang kami namakan Zaadul Imtiyaz dan kelas tambahan untuk meningkatkan kecemerlangan kepada semua pelajar PT3 dan SPM.

"Sebenarnya pelajar yang lemah tidak boleh diabaikan, malah mereka ditatang bagai minyak yang penuh kerana kejayaan mereka menentukan peratus kelulusan peringkat sekolah.

"Guru beri fokus pada golongan ini untuk dibantu. Ada guru yang ambil inisiatif untuk mengajar pelajar yang lemah untuk dibantu secara individu atau dalam grup kecil. Sasaran sekolah adalah mencapai kelulusan 100 peratus dan pencapaian ‘straight A’,” katanya.

Beliau merumuskan pelajar di kelas akhir masih ada masa hadapan yang cerah. Akademik bukan jalan terakhir. "Mungkin sekarang mereka belum nampak lagi personaliti dan matlamat ingin dicapai. Apa pun ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu hala tuju anak," ujarnya.

Peranan guru kaunseling

Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda (Integrasi) Seksyen 4, Shah Alam, Che Wan Nurul Najmi Che Wan Othman (Najmi) berkata, di mana-mana sekolah ada membuat saringan murid ke kelas.

“Selepas kemampuan murid telah dikenalpasti, cikgu boleh fokus untuk mengajar mengikut kaedah bersesuaian. Ada ibu bapa tidak bersetuju membuat persaringan kerana menganggap pihak sekolah membuat perbandingan murid.

“Sebenarnya cikgu di kelas akhir adalah mereka yang hebat. Sistem pendidikan kini melihat kecemerlangan akademik, sahsiah serta aktif di bidang kokurikulum, di mana murid menguasai apa yang dipelajari dan juga aktif di bidang yang mereka sertai di sekolah. Di sekolah kami yang dikategorikan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menekankan sistem Gred Purata Sekolah (GPS).

"Kini semua sekolah menggunakan sistem GPS untuk dinilai tahap kecemerlangannya. Contohnya SK Raja Muda catatkan GPS 1.66 dalam keputusan UPSR tahun lepas, dan tahun ini, pihak sekolah sasarkan GPS 1.63,” katanya.

Tambah beliau, dalam sistem GPS, murid mesti menguasai semua subjek dan lulus cemerlang adalah satu bonus. Jika tidak menguasai bererti guru gagal. Menguasai merujuk kepada mengira, membaca dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, ada kalangan ibu bapa, dan sesiapapun sukar untuk terima realiti apabila seseorang murid itu bermasalah dari segi pelajaran, disiplin mahupun kesihatan. Malah ada yang menafikan ’kekurangan’ anaknya sebagaimana dimaklumkan oleh guru untuk mendapatkan kerjasama mereka.

"Realiti pendidikan sekarang akan melihat prestasi akademik. Sudah pasti murid yang dapat keputusan cemerlang akan ditempatkan di kelas awal. Bagaimanapun mereka yang di kelas akhir bukanlah ketinggalan, tetapi cikgu akan mengajar mereka sampai pandai.

"Di sekolah kami memberi prioriti dan tumpuan kepada murid tahun satu di kelas akhir. Ini bertujuan membolehkan mereka cemerlang. Oleh itu, bilangan murid di kelas tersebut lebih kecil berbanding kelas awal.

”Guru memainkan peranan penting dan mempunyai tanggungjawab berat di kelas akhir. Mereka tahu cara mendekati pelajar untuk menguasai bidang akademik. Malah guru tersebut adalah kalangan mereka yang berpengalaman dan cemerlang,” ujarnya.

Najmi memberitahu pihak sekolah memberi penekanan murid tahun satu sebagai permulaan alam pembelajaran dan murid tahun enam sebelum meninggalkan sekolah. Setiap guru bertanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan murid sebelum mereka beralih tahun.

Beliau tidak menafikan terdapat kalangan murid yang mempunyai keperluan khas sehingga sukar untuk membaca dan menulis. Tetapi melalui pendidikan khas di sekolah tersebut, mereka boleh mengikuti terapi belajar menulis dan bertutur serta pelbagai aktiviti lain. Kemahiran yang diperoleh menjadikan mereka boleh belajar berdikari dan urus diri.

”Walaupun guru kaunseling tidak mengajar, tetapi itu tidak bermakna ambil sikap lepas tangan. Saya sendiri diberi peranan penting dalam memegang kecemerlangan sekolah. Saya sebagai penyelaras kecemerlangan UPSR perlu merangka pelbagai program termasuk bagi kecemerlangan murid dari pelbagai aspek di mana penggeraknya adalah kalangan guru.

"Jika diharapkan guru kaunseling dan guru akademik untuk jaga setiap murid, ia tidak tertanggung. Oleh itu, kerjasama semua pihak khususnya ibu bapa dapat membantu kecemerlangan murid dari zero jadi hero. Saya percaya ibu bapa yang prihatin akan melahirkan anak yang cemerlang.

"Sebagai guru apa yang penting adalah murid tersebut menjadi orang berguna. Cikgu tidak pernah pandang rendah kepada murid di kelas akhir, kerana masa depan mereka masih jauh lagi untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Tidak setuju asing pelajar

Ada beberapa tujuan pengasingan kelas ini. Antaranya untuk melihat aspek pencapaian akademik pelajar. Namun jika untuk pembelajaran, secara peribadi saya tidak bersetuju dengan pengasingan ini.

Pada saya jika kita hendak lihat pencapaian akademik (melalui pengasingan kelas), jadi pembelajaran pelajar tidak menyeluruh. Hanya pelajar pencapaian tinggi dapat perhatian lebih daripada guru berbanding pelajar punyai tahap akademik rendah.

Perkara itu kurang adil dari sudut pembelajaran, seharusnya beri perhatian yang sama pada semua pelajar. Sepatutnya lebih perhatian diberikan pada pelajar pencapaian akademik rendah, bukan semata-mata hendak dapat gred baik pada sekolah hingga tumpuan hanya diberikan kepada pelajar pandai.

Jika dilihat pengasingan kelas ini dibuat, biasanya mereka di kelas akhir akan tetap di situ. Ini disebabkan sering timbul anggapan pelajar tidak boleh belajar sendiri, hanya guru yang beri pembelajaran kepada pelajar.

Sedangkan sekarang pelajar boleh belajar sendiri terutama melalui internet, jadi (bila pelajar pandai dan kurang bijak digabungkan dalam satu kelas) mereka boleh saling membantu.

Apa pun jika pengasingan kelas dibuat, untuk atasi isu ini perlu ada langkah sesuai supaya pelajar di kelas hujung diberi bentuk pendidikan berbeza berbanding.

Yang duduk kelas belakang pun, mereka bukan bodoh, tapi ada kurang perhatian, tidak pergi tuisyen, nakal dan sebagainya menyebabkan pencapaian akademik mereka rendah.

Jadi mereka di kelas akhir ini boleh diberi pendidikan, misalnya lebih pada hands-on, vokasional atau banyakkan aktiviti dengan bantuan guru. Yang penting bukan pencapaian, tapi apakah mereka belajar sesuatu atau tidak. Untuk kelas akhir, guru perlu banyak lakukan aktiviti dengan pelajar berbanding di kelas pandai (kelas pertama) kerana pastinya mereka di kelas ini sudah bermotivasi tinggi, boleh membaca dan sebagainya.

Mungkin pelajar kelas akhir juga boleh ditumpukan untuk pembelajaran bukan banyak gunakan otak, tapi lebih pada kemahiran. Ini biasanya mereka lebih mudah belajar. Pengasingan itu sebenarnya sudah menunjukkan bias (berat sebelah), tetapi sekolah pun hanya ikut apa disarankan Kementerian Pendidikan (KPM).

Saya percaya, ada juga guru tidak bersetuju tetapi terpaksa ikut. Kebaikannya untuk memastikan pencapaian akademik. Tapi apakah tafsiran kita lebih kepada pencapaian kognitif. Banyak bukti memang bagus adanya peperiksaan, tetapi komunikasi, sahsiah dan kemahiran insaniah pelajar jadi rendah.

Peluang berjaya masa hadapan Lazimnya, penyebab utama murid ditempatkan di kelas tertentu ‘akhir’, ‘belakang’ dan ‘hujung’ ialah pencapaian akademik.

Isu penempatan murid berdasarkan pencapaian akademik ada hujah menyokong dan sebaliknya. Dari segi pengajaran atau pedagogi mungkin ada kebaikannya, sama seperti pendekatan pendidikan khas bagi murid bermasalah pembelajaran. Namun, dari sudut lain mungkin wujud perasaan rendah diri dipamerkan menerusi tingkah laku tertentu.

Maka, pada hemat saya, pihak sekolah punyai justifikasi kukuh, serta telah disepakati dalam mesyuarat jawatankuasa kurikulum sebelum keputusan sama ada menempatkan murid berdasarkan pencapaian akademik itu.

Pendidikan sentiasa menyalakan harapan dan impian. Konsep pendemokrasian pendidikan bermaksud pendidikan bermutu untuk semua murid. Bakat dan potensi seseorang murid tidak hanya terhad kepada pencapaian akademik.

Namun, mereka berhak menikmati pengalaman pembelajaran terbaik yang akur terhadap keperluan kurikulum di bilik darjah. Guru sentiasa mentaksir perubahan tingkah laku murid ke
arah lebih baik sepanjang proses pembelajaran mereka. Maka, ukuran perubahan murid itu dilihat dari segi potensi dan anjakan pengetahuan sedia ada mereka.

Berhadapan kumpulan murid berpencapaian agak rendah memang mencabar. Namun, sebagai ahli ikhtisas, guru miliki ilmu bantu pendidikan seperti psikologi, sosiologi dan falsafah pendidikan mengenal pasti, menetapkan dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Prinsip capaian (aksesibiliti) dan keadilan ekuiti) diaplikasikan sepenuhnya. Jika ada murid menimbulkan masalah disiplin, sahsiah atau sukar dibentuk, mereka dirujuk pada pakar seperti guru kaunseling atau pegawai perubatan. Susah atau tidak membentuk mereka adalah perkara subjektif.

Setiap guru pada prinsipnya akan berusaha sedaya upaya membimbing murid berkenaan walaupun mencabar. Memang sudah dilafazkan dalam ikrar perkhidmatan keguruan sejak latihan praperkhidmatan.

Tidak dapat tidak, seseorang guru harus mereka bentuk perancangan aktiviti pembelajaran dengan menggembleng kreativiti, input pakar dan cadangan panitia mata pelajaran di sekolah.

Cakap-cakap guru hanya bagi tumpuan pada pelajar kelas pertama, itu hanya luahan pendapat peribadi tanpa disokong dapatan kajian autentik. Amnya, guru sentiasa berpegang pada maksim ‘setiap murid diterima seadanya’. Sasaran pencapaian akademik kumpulan murid berpencapaian rendah bersesuaian kebolehan mereka.

Jadi, kes mengutamakan kelas murid cemerlang sahaja lebih bersifat terpencil. Selama berkecimpung dalam dunia pendidikan, saya mendapati nasib murid daripada kelas dipanggil akhir itu masih baik.

Sesetengahnya berjaya dari segi pendapatan dan kewangan, manakala yang lain sekurangkurangnya muncul sebagai modal insan yang boleh dilatih dan mampu bekerja dalam pasukan, serta mematuhi tatacara piawai organisasi tempat mereka mencari rezeki.

Saya sering berjumpa bekas murid sedemikian yang tidak kekok menyapa terlebih dahulu. Pokoknya, mereka tahu bezakan baik buruk, halal haram dan mempunyai semangat untuk memajukan diri.

- Cikgu Azhar Mohd Rodzi, Ipoh Perak

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers