Friday, 23 December 2016

Dinamiknya sistem pendidikan kita

PENULIS masih ingat ba­gaimana menjadi kumpulan pertama yang mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 1993 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban. Pada tahun tersebut, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) telah ditukar kepada PMR.

Tidaklah begitu kedengaran sama sekali keluh kesah ibu bapa mengenai pertukaran sistem ­peperiksaan umum untuk tingkatan tiga. Mungkin puncanya kerana kesan pertukaran tersebut tidak menyebabkan sebarang perbezaan ketara prestasi pelajar yang menduduki PMR pada 1993 berbanding SRP pada 1992.

Lain pula kisahnya apabila kerajaan mula memperkenalkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) beberapa tahun lalu yang mana ketika itu kecoh dengan prestasi keputusan PT3. Masakan tidak, prestasi keputusan PT3 jatuh merudum berbanding PMR. Ini bukan setakat sekolah harian biasa tetapi juga melibatkan sekolah-sekolah elit bertaraf Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Ketika itu, ramai pihak mula menyalahkan PT3, kononnya tidak sesuai diperkenalkan. Sudah tentu paling ramai mengkritik dalam kalangan ibu bapa yang kini lebih menggemari atau seronok melihat anak-anak mereka mendapat sebanyak mungkin A berbanding melihat secara menyeluruh impak menyeluruh PT3 tersebut.

Salah kita semua juga kerana sejak dari dahulu lagi dimomokkan bahawa pelajar yang mendapat sebanyak mungkin A, itulah pelajar yang cemerlang dan terbaik. Walhal, belum tentu lagi pelajar sebegini akan cemerlang dalam kerjaya dan kehidupan mereka kemudian hari.

Lebih parah lagi, apabila diumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang mana hanya 4,896 pelajar yang memperoleh semua A berbanding 38,319 pelajar yang memperoleh semua A bagi setiap subjek pada tahun sebelum itu. Maka, ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Sekali lagi, jelas kelihatan­ mentaliti masyarakat kita lebih­ ter­arah kepada bilangan A ber­ban­ding proses pendidikan itu sendiri yang akan mengubah mentaliti dan tingkah laku murid dan pelajar. Walhal, sebenarnya bilangan A adalah sebagai ­penanda aras pengukuran keintelektualan pelajar.

Dengan kata lain, kepintaran dan kecerdikan pelajar semata-mata tetapi belum lagi merangkumi aspek-aspek kebijaksanaan yang sebenar lebih menyeluruh dalam membolehkan murid dan pelajar berhadapan pelbagai cabaran dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk menambah baik sistem pendidikan negara agar lebih dinamik berteraskan situasi semasa dan masa hadapan.

Jika dahulu sistem pendidikan negara lebih untuk membasmi buta huruf dalam kalangan masyarakat agar mereka ini mendapat pendidikan sebaik mungkin, kini sistem pendidikan negara perlu lebih menekankan bagaimana untuk mengubah mentaliti dan tingkah laku masyarakat daripada mendiami sebuah negara berpendapatan sederhana kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Dengan ini, kebijaksanaan adalah tunjang kepada memperkasakan masyarakat Malaysia. Kebijaksanaan di sini bermaksud masyarakat kita sentiasa bermentaliti dan bertingkah laku yang positif, mampu menyelesaikan masalah dengan baik dan pada masa sama memberi manfaat bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi kepada orang lain.

Aspek keterangkuman dan mampan menjadi intipati utama selari dengan sistem pendidikan negara yang dinamik ini. Semua pihak mendapat pendidikan terbaik tidak hanya golongan kaya sahaja tetapi juga golongan miskin yang berada di kawasan-kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Mereka ini juga penyumbang besar terhadap kemakmuran negara Malaysia. Melalui sistem pendidikan negara yang dinamik, masyarakat kita tidak boleh hanya melihat bahawa kecemerlang­an peperiksaan sahaja memberi kesan terhadap masa hadapan pelajar. Walhal, banyak lagi aspek lain seperti kemahiran teknikal dan penguasaan pelbagai bahasa serta kebijaksanaan dalam perniagaan, kreativiti dan inovasi juga boleh melonjak keupayaan seseorang pelajar.

Maka, ada yang bersetuju agar UPSR juga ditukar pada masa akan datang agar selari dengan kehendak semasa. Cuma apa yang perlu ditekankan di sini, jika berlakunya penukaran UPSR dengan pentaksiran baharu untuk pelajar darjah enam pada masa akan datang, semua pihak yang terlibat perlu bersedia dan dilengkapi dengan kefahaman dan penghayatan menyeluruh mengenai sistem pentaksiran yang akan diperkenalkan kelak.

Ini termasuklah ibu bapa yang perlu diberikan pemahaman sewajarnya kerana mereka inilah kelompok terbesar dalam masyarakat yang semakin kritikal terhadap sistem pendidikan negara.

Mereka perlu dibawa dalam arus perdana untuk menyampaikan pandangan terhadap kerajaan. Di samping itu, peranan guru juga tidak boleh dinafikan. Mereka inilah barisan hadapan yang akan mengajar generasi muda pada masa akan datang agar memahami dan menghayati serta bertingkah laku yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat Malaysia.

Malang sekali jika kita terlalu teruja dengan kecemerlangan pelajar berdasarkan bilangan A, walhal pada masa sama gagal mendidik mereka agar menghormati orang tua, pihak berkuasa mahupun sesiapa sahaja. ­

Lebih teruk lagi, sistem pendidikan tidak mampu melahirkan masyarakat yang terdidik dan bersahsiah tinggi. Inilah yang ­lebih perlu diutamakan ­berbanding hanya mendapat sebanyak mungkin A dalam peperiksaan.

Hal ini perlu dibimbangkan kerana masyarakat kita pada masa kini berada dalam persimpangan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi, maka sudah tentulah sistem pendidikan negara perlu dinamik dalam membantu proses perubahan ini.

Misalnya, jika dahulu ma­syarakat kita lebih bertindak secara kolektif melalui kerja gotong-royong tetapi kini ma­sing-masing terutamanya yang menetap di bandar-bandar besar lebih suka menjaga hal sendiri. Di sinilah pentingnya kedinamikan sistem pendidikan negara dalam membantu peralihan ini supaya masyarakat mengetahui peranan mereka.

Malah, dengan ledakan tek­nologi terkini, sistem pendidikan negara yang dinamik akan sentiasa menekankan terhadap murid dan pelajar betapa pentingnya kebenaran sesuatu maklumat dalam apa jua pembuatan keputusan.

Segala kedinamikan inilah yang akan membantu membentuk kebijaksanaan kita menjadi sebuah masyarakat yang sejahtera dan serba maju dari segi ekonomi, sahsiah dan berupaya menyumbang kembali kepada kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).



jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers