Thursday, 29 December 2016

5 Cabaran Gelombang Kedua PPPM Yang Perlu Kepimpinan Sekolah Bersiap Sedia - IAB

Pemimpin sekolah menghadapi pelbagai cabaran dalam menerajui Gelombang Kedua PPPM.
INSTITUT Aminuddin Baki (IAB) merupakan sebuah institusi latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan bagi membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan di semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

IAB berperanan menghasilkan organisasi pendidikan yang berkualiti selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri.

Menurut pengarahnya, Dr Zainal Aalam Hassan, matlamat IAB adalah untuk membina dan membangunkan profesionalisme dalam kepimpinan dan pengurusan pendidikan yang akan membantu membangunkan sistem pendidikan kebangsaan keseluruhannya.

Beliau berkata, bagi membantu pemimpin pendidikan menghadapi Gelombang Kedua PPPM 2016 - 2020, IAB memberi fokus kepada pemimpin pendidikan yang berwawasan untuk memimpin sekolah masing-masing bagi menghadapi Gelombang Kedua PPPM.

“Pemimpin berwawasan ini adalah pembina harapan baharu, bekerja dengan penuh keberanian dan berkeyakinan supaya dapat membangunkan visi bersama-sama warga sekolah agar dapat mencapai matlamat pendidikan yang ditetapkan melalui amalan terbaik yang ditonjolkan dan dapat dimanfaat oleh pemimpin sekolah dalam membantu mereka di sekolah,” katanya.

Ujar Dr Zainal, IAB berperanan sebagai institusi yang diamanahkan untuk mengurus dan mengendalikan program latihan dalam kepimpinan pendidikan, menyediakan pelan latihan yang komprehensif dan bersesuaian dengan pembangunan kompetensi pemimpin pendidikan di Malaysia.

“Sistem pendidikan di era globalisasi kini memerlukan pemimpin pendidikan yang memiliki kemahiran, berpengetahuan tinggi serta berpegang teguh kepada integriti dalam usaha merealisasikan hasrat KPM.

“IAB telah membina satu rangkaian modul latihan bagi pembangunan diri dan pembangunan organisasi berdasarkan band sekolah," katanya.

Beliau menjelaskan, Modul CPD Leadership Course for Middle Leaders (LCML) memberi fokus kepada CPD pemimpin pertengahan pendidikan seperti Ketua Panitia dan Ketua Bidang
manakala kursus NPQEL direka bentuk bagi bakal-bakal pemimpin sekolah (PGB) yang akan menerajui sekolah.

“Bagi pemimpin sekolah (PGB) yang baru dilantik (novis) kursus Program Residency dan Immersion (PRIme) disediakan bagi membantu PGB novis agar mampu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Bagi pemimpin pendidikan yang berprestasi cemerlang, kursus Gred Khas Jusa C, EEC, Talent Pool, ALD dan VLD disediakan bagi menyediakan barisan pemimpin pendidikan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di Bahagian KPM,” katanya.

Dalam pada masa yang sama juga, IAB menawarkan kursus Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang lebih khusus seperti pengurusan kewangan, pengurusan pejabat, bos, kaunseling dan sebagainya disediakan bagi memenuhi permintaan pemimpin sekolah dari masa ke masa mengikut keperluan.

Dr Zainal berhasrat memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di setiap sekolah dapat direalisasikan.

Tawar program pembangunan

Selain itu, menurutnya, IAB juga menawarkan program pembangunan organisasi (OD) bagi memenuhi keperluan pembangunan dan penambaikan sekolah mengikut band sekolah.

“Bagi pemimpin yang berada di band 1 dan 2, mereka ditawarkan untuk menghadiri Kursus Kluster Kecemerlangan dan modul latihan bagi memenuhi keperluan pemimpin sekolah di
band 3 dan 4 dikenal sebagai Program Organisational Development (PrOD).

“Manakala bagi pemimpin sekolah di band 5 dan 6, Program SpeedUp ditawarkan. Modul latihan IAB dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek dan juga jangka panjang,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, selain kursus jangka panjang dan pendek, pelbagai program lain turut dilaksanakan IAB bagi membangunkan kompetensi pemimpin pendidikan.

Katanya, di peringkat antarabangsa, IAB mengelolakan Regional Conference on Educational Leadership and Manangement (RCELAM) secara dwitahunan.

IAB juga bekerjasama dengan British Council iaitu berkaitan Training of Core Skills pemimpin sekolah abad ke-21 yang dimantapkan bersesuaian dengan keperluan masa akan datang.

“Selain daripada itu IAB juga menganjurkan seminar nasional secara tahunan dan kolokium. Kkami mengadakan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-23 (SN23) selama empat hari berakhir semalam, di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

“Seramai 500 peserta yang terdiri daripada pengurus dan pemimpin pendidikan semua peringkat di KPM akan menghadiri seminar ini,” katanya.

Kata Dr Zainal lagi, bagi merumuskan harapan kepada pemimpin sekolah dalam menerajui Gelombang 2 beliau berharap PGB berkeupayaan menggunakan daya fikir futuristik berasaskan pengetahuan dan maklumat tepat bagi memacu sekolah yang dipimpin ke arah matlamat pendidikan dengan jayanya.

Katanya, persediaan untuk menghadapi cabaran yang akan datang ini sangat penting agar sistem pendidikan Malaysia ampuh dan relevan dalam memastikan kemenjadian murid.

“Peningkatan profesionalisme dan berkompetensi dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan, pemimpin sekolah diharapkan berkemampuan melaksanakan proses transformasi pendidikan dengan berjaya dan berkesan.

“Pada saya, bebarapa atribut yang dapat dijelmakan oleh pemimpin sekolah yang beraspirasi, bersemangat, bertekad untuk menjadi yang terbaik selaras dengan aspirasi negara,” katanya.

INFO

Lima cabaran menghadapi Gelombang 2 PPPM.

1. Inovasi dan kreativiti teknologi pendidikan dalam pengoptimunan sumber.

2. Peluasan penglibatan komuniti dalam menyokong ekosistem pembelajaran.

3. Pemupukan perpaduan merentasi pelbagai jurang perbezaan.

4. Memantapkan kepimpinan teragih dalam pembangunan organisasi.

5. Mengorientasi wawasan dan pemikiran kepimpinan ke arah masa depan.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers