Tuesday, 29 November 2016

TIMSS 2015: Pencapaian Malaysia dalam Sains dan Matematik makin meningkat

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan peningkatan dalam pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat antarabangsa.

Mengikut penilaian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS), satu kajian penandaarasan antarabangsa, Malaysia mencatatkan skor matematik 465 mata dan sains 471 mata.
Daripada 16 negara peserta yang telah mencatatkan peningkatan skor dalam Sains pada TIMSS 2015, Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 44 mata berbanding TIMSS 2011.

Bagi subjek matematik pula, Malaysia merupakan antara 18 negara yang menunjukkan peningkatan pencapaian iaitu 25 mata berbanding TIMSS 2011.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, pencapaian yang bertambah baik meletakkan kedudukan Malaysia pada kedudukan pertengahan dalam senarai kesemua 39 negara peserta.

"Ini merupakan satu peningkatan berbanding TIMSS 2011 yang meletakkan Malaysia pada kedudukan satu per tiga di bawah dalam pencapaian sains sebelum ini," katanya dalam sidang media bagi mengumumkan Laporan TIMSS 2015 di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian itu adalah kesediaan guru, pengetua, persekitaran sekolah dan sosioekonomi murid.

"Hampir kesemua guru dan pengetua mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dengan lebih 50 peratus guru mempunyai lebih 10 tahun pengalaman mengajar," katanya.
Kementerian Pendidikan mensasarkan pencapaian meningkat kepada 500 mata pada penilaian TIMSS 2019 kelak.

Kajian TIMSS diadakan setiap empat tahun.
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers