Sunday, 20 November 2016

Sisi gelap pendidikan di Finland yang perlu kita tahu...

Kelas kami pagi ini di Athena Building, Siltavuorenpenger

Musim ini, bukanlah pertama kali pendidikan di Finland dikagumi, menarik perhatian dunia. World Fair antara 1889 hingga 1900 banyak memperlihatkan pendidikan di Finland yang ketika itu sebahagian daripada Russia, dikagumi ramai kerana efisyen, moden dan saksama (Egginger, 2013).
Namun kekaguman kali ini agak unik.

Kali pertama saya mendengar tentang pendidikan di Finland adalah apabila negara kita membicarakan tentang keputusan Program for International Students Assessment (PISA), apabila negara kita berada di ranking yang amat rendah, berbanding Finland yang duduk di tangga teratas. Sememangnya Finland mula mencipta nama apabila keputusan PISA pertama diterbitkan pada 4 Disember 2001. Semenjak 2013, saya mula membaca tentang pendidikan Finland, dan akhirnya saya diketemukan dengan buku paling popular berkenaan topik ini iaitu Finnish Education: What Can the World Learn from Educational Change in Finland, oleh Pasi Sahlberg.

Bukunya sangat enak dibaca.
Ia seperti sangat berjaya menjelaskan mengapa pendidikan di Finland menjadi nombor 1 di dunia. Saya menjadi peminat tegar Pasi Sahlberg, mengikuti kupasan-kupasan beliau di Youtube, dan mengikuti perkembangannya di Twitter.

Banyak yang saya faham tentang pendidikan di Finland, adalah berpandukan buku Finnish Lessons, termasuk versi barunya yang dinamakan Finnish Lessons 2.0. Namun, sama seperti ramai pembaca lain, saya mengalami rasa frust kerana model pendidikan Finland menurut Pasi Sahlberg itu terlalu luar biasa. Tidak keterlaluan saya katakan, mungkin ada yang rasa teruk, hodoh, negatif apabila mereka membandingkan realiti pendidikan mereka dengan pendidikan Finland versi Sahlberg.

Misalnya, di dalam bukunya, Sahlberg menyatakan bahawa motif utama rakyat Finland memohon untuk menjadi guru adalah kerana dorongan moral yang dipegang, yakni untuk berbakti kepada masyarakat. Pendidikan dilihat sebagai wasilah terbaik untuk merealisasikannya. Andaikata pendidikan mencetuskan masalah tertentu yang memerlukan guru membelakangkan moral ini, mereka tidak teragak-agak untuk meninggalkan profesyen berkenaan!

Sungguh!

Terharu saya membacanya.

Saya fikir, bagaimanakah sebenarnya sistem pendidikan Finland hingga mampu menjadikan ini sebagai motif tertinggi seseorang menjadi guru?

Tetapi lama kelamaan, saya mula berasa kurang selesa sebab membaca buku Sahlberg menjadikan saya depress. Semuanya seperti too good to be true. Kerana itu, saya meneroka buku-buku lain yang lebih praktikal, seperti buku Professional Capital: Transforming Teaching in Every School oleh Andy Hargreaves dan Michael Fullan. Kupasan di dalam buku ini memberikan sedikit rasa lega kerana barulah saya dapat melihat sisi yang lebih objektif, mengapa pendidikan Finland cemerlang, dan ia tidak boleh ditiru bulat-bulat sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Saudi, hingga bangunan sekolah pun disalin 100% dari Finland ke negera berkenaan.

Ada juga beberapa buku lain yang saya baca, di samping artikel-artikel dan dokumentari di Youtube. Ia menjadikan kefahaman saya lebih berkisar pada aspek praktikaliti, berbanding ilusi bersalut wow, wow dan wow.

Peluang menyertai Summer School di Helsinki kali ini memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan Pasi Sahlberg, dan mudah-mudahan ramai tokoh pendidikan lain. Saya mahu Khalifah Model School – Secondary bukan sekadar sekolah yang outstanding di kalangan sekolah agama, malah ia berkompetensi pada penanda aras antarabangsa. Apabila mendapat maklumat tentang perincian kursus, saya agak kehairanan kerana Pasi Sahlberg tiada dalam senarai tenaga pengajar atau tetamu yang diundang. Ahh, masakan sifu pendidikan tidak diajak bersama!

Saya tweet beliau di Twitter. Tiada jawapan.

Di dalam motivation letter yang saya tulis semasa memohon untuk menyertai kursus ini, saya ulas buku Pasi Sahlberg dan bagaimana ia membantu saya mendekatkan diri kepada pendidikan Finland, sebuah negara yang secara fizikalnya terlalu jauh. Permohonan saya pantas diterima, namun saya tidaklah mendapat apa-apa feedback berkenaan isi kandungan motivation letter yang saya tulis.

Prof Fred Dervin

Kursus pendidikan di Finland kali ini dikendalikan oleh ketua program iaitu Prof Fred Dervin, Professor of Multicultural Education di University of Helsinki (Finland). Beliau juga adjunct professor pendidikan di Taylor’s University, Malaysia.

Hari ini saya akhirnya ditemukan dengan beliau. Seorang yang cergas di dalam kelas, kritikal terhadap banyak aspek yang popular tentang pendidikan di Finland, bukan peminat kepada PISA, dan apa yang mengejutkan saya adalah, ketidak setujuan beliau dengan Pasi Sahlberg. Turut bersama beliau adalah tokoh-tokoh akademik University of Helsinki seperti Prof Matti Meri, Prof Heidi Layne, Prof Sirkku Kupiainen, Dr. Mbu Waye dan tokoh senior, Prof Veijo Meisalo.

Menurut Prof Fred Dervin, pendidikan di Finland memang bagus. Namun ia tidaklah sebagus yang digambarkan oleh Pasi Sahlberg. Bagus yang menyebabkan orang lain rasa teruk. Bagus yang menyebabkan pendidikan di Finland tidak dinilai secara objektif. Saya mendengar dengan teliti penghujahan Prof Fred di dalam kelas. Saya masih boleh merasionalkan pendapat-pendapat Pasi Sahlberg yang dibesar-besarkan secara subjektif, misalnya tentang motif menjadi guru yang saya sentuh tadi. Demikian juga dakwaan Sahlberg bahawa keupayaan tinggi pada membaca di kalangan pelajar Finland adalah kerana ibu bapa mereka banyak membaca. Ia disanggah dengan penuh skeptis oleh Prof Fred, bahawa dakwaan itu kelakar!

Petikan buku Finnish Lessons oleh Pasi Sahlberg

Tetapi saya terkejut apabila Prof Fred menjelaskan tentang pembohongan Pasi Sahlberg serta penyembunyian fakta yang amat bertentangan dengan etika dan amanah ilmu.

Sahlberg mengatakan bahawa tiada sekolah swasta di Finland, kerana mahu menekankan nilai equity di dalam pendidikan Finland. Hakikatnya, ada 80 sekolah swasta pada masa ini dan jumlahnya bertambah. Sahlberg mendakwa secara prinsipnya tiada homework di dalam pembelajaran di Finland. Dan ia salah sama sekali.

Semasa Sahlberg menyampaikan ceramahnya di Stanford Graduate School of Education di USA, rakan Pasi Sahlberg iaitu Prof Linda Darling-Hammond telah membawa seorang rakannya hadir ke ceramah tersebut. Jika selama ini ceramah Pasi Sahlberg mengundang soalan-soalan yang melankolik, asyik dengan ceritanya, kali ini rakan kepada Prof Linda Darling-Hammond melontarkan dua soalan yang amat kritikal iaitu:

Mengapa Pasi Sahlberg tidak mendedahkan fakta bahawa PISA score bagi negara Finland bagi tahun 2003-2009 menjunam jatuh?

Mengapa tidak diperkatakan kepada umum bahawa pendidikan awal kanak-kanak di Finland adalah yang termahal di dunia?

Tanpa penerangan ini, Pasi Sahlberg dianggap tidak menceritakan dengan lengkap realiti sebenar pendidikan Finland. Ia menjadi permulaan kepada pendedahan umum bahawa Pasi Sahlberg bersikap selektif, memilih hanya fakta-fakta yang enak, dan menyembunyikan sisi negatif pendidikan di Finland, malah tergamak mengemukakan fakta-fakta yang bersifat pembohongan. Prof Fred Dervin turut mengemukakan analisis beliau tentang Twitter Prof Pasi Sahlberg di dalam bahasa Finnish berbanding bahasa Inggeris. Ada bezanya!

Finland turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang mesti difahami secara objektif. Misalnya kerajaan konservatif yang memerintah Finland sekarang mahu mengenakan yuran ke atas pelajar antarabangsa! Mereka sedang bekerja keras mengubah perlembagaan negara yang menghalang hal tersebut. Pelajar tempatan juga keresahan kerana mereka tahu, selepas pelajar antarabangsa, mereka pula akan mengambil giliran seterusnya.

Selain itu, berlaku pendedahan bagaimana di dalam sistem pendidikan Finland, aspek kerjaya telah dikenal pasti adanya elemen ketidak adilan apabila pelajar-pelajar Finland dari komuniti Somali (minoriti imigran terbesar di Finland), mengalami brainwash bahawa mereka lebih sesuai mengambil bidang kejururawatan dan tidak perubatan, walaupun layak!

Akhirnya menurut Fred Dervin, Pasi Sahlberg adalah sebahagian daripada propaganda pihak yang menjayakan projek branding kerajaan Finland di bawah seliaan pakar branding dunia iaitu Simon Anholt. Kerajaan Finland secara terancang mahukan Finland maju dengan tiga penjenamaan negara iaitu:

  1. Nature
  2. Design
  3. Education

Karya-karya Pasi Sahlberg menyalahi disiplin akademik, dan lebih bersifat self promotion, mengaut keuntungan, dan mencetuskan banyak masalah kepada pendidikan di Finland di kaca mata antarabangsa. Dunia membazir wang kerana cuba meniru pendidikan Finland berdasarkan propaganda anti tesis pendidikan Finland iaitu Prof Pasi Sahlberg.

Sejujurnya, saya berasa amat lega mendengar pembentangan Prof Fred Dervin hari ini. Tanpa Pasi Sahlberg pun, pendidikan di Finland masih cemerlang dan banyak yang boleh dipelajari sepanjang Summer School ini. Tanpa Pasi Sahlberg, Alhamdulillah sekali lagi Allah rezekikan saya untuk diselamatkan daripada karenah golongan ‘populis’ yang gemar meromantikkan realiti hingga menyulitkan kita menggarap realiti. Apatah lagi jika mereka itu sendiri adalah ahli akademik bertaraf Harvard. Di dalam bidang sejarah, golongan ini ramai dan berpengaruh. Sungguh saya tidak sangka, di dalam dunia pendidikan pun, golongan ini wujud, dengan kewujudan yang berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Teringat, bagaimana Prof Khaled el-Ruwayheb melepaskan saya daripada bayangan tidak benar tentang The Triumph of Fanaticism Kadizadeli Uthmaniyyah seperti dakwaan tokoh besar, Prof Halil Inalcik.

Prof Fred Dervin ketawa besar di dalam kelas tadi apabila saya nyatakan rasa lega saya apabila pendidikan di Finland menerima klarifikasi atas propaganda Pasi Sahlberg. Beliau menekankan, bahawa tujuan beliau mengupas hal ini secara kritikal dalam sesi pengenalan, adalah agar seluruh komuniti pendidikan dunia saling belajar antara satu sama lain, menghargai kelebihan masing-masing, tidak memuja sesuatu secara tidak benar, dan membantu Finland menjaga sistem pendidikannya daripada utopia yang mengelirukan. Bidang lain barangkali tidak mengapa. Tetapi bidang pendidikan mesti berpijak di bumi yang nyata.

Sistem PISA juga dikupas dengan panjang lebar oleh Prof Fred Dervin bahawa ia tidak dilakukan secara yang betul, terutamanya pada membandingkan aspek penguasaan bahasa yang berbeza-beza. Bahasa Finnish adalah bahasa straigh forward, sebut seperti eja, dan usaha menguasai bahasa Finnish, jauh lebih pantas berbanding penguasaan bahasa Swedish yang lebih complicated.

Insha-Allah esok, kami akan mula meneroka lebih banyak topik secara akademik, hands on, menjauhi khayalan-khayalan yang digemari oleh masyarakat ramai.

Bismillah.

HASRIZAL
Siltavuorenpenger, Helsinki
Finland

Sunmber: Saifulislam.com

jobs from my.neuvoo.com

2 comments

kenapa plagiarise, copy paste ustaz punya artikel?

Akhirnya.....reality bites! Saya juga berasa pendidikan di Finland is too idealistic!


EmoticonEmoticon

Google+ Followers