Saturday, 5 November 2016

Polis cekup guru sekolah menengah, edar dadah ke negara jiran

MIRI, 5 Nov ― Polis Lawas menangkap seorang guru sekolah menengah yang disyaki mengedar dadah jenis syabu pada 5.50 petang semalam.

Ketua polis Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, guru lelaki berumur 33 tahun itu ditangkap bersama-sama seorang lelaki berusia 36 tahun ketika mereka berada di dalam sebuah kereta di Jalan Merapok, Lawas.
“Berdasarkan siasatan kami, dadah itu tidak dijual kepada pelajar di sekolah tempat suspek mengajar,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, dadah berkenaan adalah untuk dijual di daerah tanah tinggi Long Bawan, Indonesia.

“Kami telah mengesan dan memantau pergerakan mereka selama kira-kira empat bulan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Punang, Berayong Lawas itu juga didapati positif ampethamine.

“Ketika polis menangkap mereka, satu paket syabu seberat 27.7 gram, yang dianggarkan bernilai RM4,000, didapati tersembunyi di dalam tempat letak tangan kenderaan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Guru-guru Sarawak (STU), kesatuan guru terbesar di negeri ini, menyuarakan rasa terkejut tentang penangkapan guru berkenaan kerana ia boleh mencemarkan nama baik profesion perguruan.

Presiden STU Jisin Nyud berkata kesatuan itu sedia bekerjasama dengan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memerangi masalah dadah. ― Bernama

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers