Tuesday, 22 November 2016

Pendekatan PdP Guru Dalam Bilik Darjah Punca Keputusan UPSR 2016 Sebegitu Rupa...

Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan pada 17 November lalu membangkitkan pelbagai reaksi masyarakat terhadap sistem pendidikan Malaysia yang sedang memasuki gelombang kedua dari tiga gelombang yang dikerangkakan untuk tempoh selama 13 tahun (2013-2025).
Ketika keputusan itu diumumkan, ramai ibu bapa kecewa dengan harapan tinggi yang mereka sandarkan kepada anak-anak apabila hanya 4,896 calon berjaya memperoleh 6A sedangkan tahun-tahun sebelumnya menyaksikan lebih 35,000 orang calon. Misalnya, keputusan UPSR 2015, sejumlah 38,344 calon memperoleh 5A (8.65 peratus) daripada keseluruhan calon seramai 443, 407 calon.

UPSR 2016 dilihat sebagai percubaan pertama Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan format baharu berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) manakala UPSR 2015 merupakan kohort terakhir menggunakan format Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Asalnya, KBSR ialah Kurikulum Baru Sekolah Rendah mula diperkenalkan secara rintis di 305 buah sekolah pada tahun 1982 dan setahun kemudian dilaksanakan ke seluruh sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Setelah dilaksanakan selama 10 tahun, ia dinamakan KBSR tanpa dilakukan apa-apa perubahan besar terhadap isi kandungannya.
KSSR mula dilaksanakan pada tahun 2011 bermula dengan pelajar Tahun 1 dan ini membawa kepada penafian bahawa calon UPSR 2016 merupakan “mangsa percubaan” oleh KPM “menukarkan format peperiksaan.” Calon yang menduduki UPSR pada tahun 2016 sudahpun didedahkan dengan kaedah pembelajaran yang beroeriantasikan murid, dan bukannya dalam bentuk tradisional, iaitu guru mengajar manakala pelajar mendengar.

Kurikulum pendidikan kebangsaan (KBSR) yang sebelumnya lebih mengutamakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah secara tradisional telah menyebabkan budaya menghafal menjadi keutamaan manakala soalan-soalan peperiksaan berpusat bercorak “mengeluarkan balik apa yang dipelajari” dalam kelas dan buku-buku teks. Kaedah pendidikan seperti ini telah dilihat ketinggalan zaman kerana hanya berjaya melahirkan generasi pelajar yang cemerlang akademik tetapi lemah dalam etika sosial dan kurang berdaya saing, tidak mahir berfikir. Orientasi sedemikian turut memperlihatkan sistem pendidikan di Malaysia lebih mengutamakan peperiksaan daripada pembangunan sahsiah dan pembinaan modal insan.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 2006, kelemahan KBSR telah dibahas dengan begitu mendalam dan hasilnya meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengkaji semula kurikulum kebangsaan agar para pelajar yang keluar daripada sistem pendidikan mampu berhadapan dengan keperluan-keperluan baharu bagi berhadapan dengan cabaran abad ke-21. Setelah melakukan kajian mendalam, pada 23 Mei 2008, KPM mendapati wujudnya keperluan untuk melaksanakan transformasi kurikulum pendidikan bermula di peringkat sekolah rendah.

Ketika KBSR dirangka berdasarkan cadangan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979, iaitu menekankan kepada kebolehan membaca, menulis dan mengira atau dikenali sebagai 3M. Ketika itu penggunaan dan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat belum lagi muncul, maka konsep pendidikan masih menggunakan metod tradisional, guru mengajar sedangkan murid mendengar.

Pada tahun 1990-an, KBSR ditambahbaik dengan mengambilkira keperluan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat. Ianya diadaptasikan merentas kurikulum dan dinamakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Bagaimanapun, KBSR turut memperkenalkan kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi dan keusahawanan.

KSSR mula dibangunkan pada tahun 2009 dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2011 bermula dengan mengambilkira prinsip KBSR dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Prinsip KBSR dikenali sebagai 4 M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul). Menaakul berasal dari perkataan Arab, taakul. Kamus Dewan (Edisi Keempat) mentakrifkan taakul “hal membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal, tinjauan akal” manakala menaakul “membuat pertimbangan dan lain-lain dengan logik”. (hal.1561)

Istilah bahasa Inggeris ialah reason bagi taakul manakala menaakul ialah reasoning. Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary (cetakan 2007) dalam konteks perbuatan: (a) menggunakan kuasa diri sendiri untuk berfikir, memahami, membentuk pendapat, dan sebagainya; menaakul; (b) membuat kesimpulan atau menyatakan sesuatu langkah dalam proses ini; berhujah. Reasoning pula bermaksud “ tindakan atau proses menggunakan daya berfikir; hujah yang dihasilkan ketika melakukan ini”. (hal. 1212)

Berdasarkan analisis keputusan UPSR yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), calon UPSR 2016 telah mengikuti KSSR dan melalui PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) sejak berada di Tahun 1 pada tahun 2011. Ini bermakna, pelajar telah pun didedahkan dengan kaedah pembelajaran baharu sejak awal persekolahan mereka lagi, bukannya beberapa bula sebelum UPSR dilaksanakan.

Menurut Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, “hasrat transformasi kurikulum dan pentaksiran pada peringkat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan sepadu. Perkembangan ini meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia.”

Katanya, keputusan peperiksaan UPSR merujuk kepada tahap pencapaian akademik calon berdasarkan standard kandungan, standard pembelajaran dan standard prestasi sebagaimana termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bukannya merujuk kepada lulus atau gagal. Sebab itulah tahap pencapaian dilaporkan dalam bentuk gred berdasarkan pertimbangan kualiti, ketekalan, ketepatan dan keadilan.

“Murid yang menduduki UPSR 2016 boleh mendapat pernyataan keputusan peperiksaan UPSR berserta dengan pelaporan Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Kesemua pelaporan ini menggambarkan prestasi calon yang lebih holistik, komprehensif dan bermakna, “ tambah beliau.

Berdasarkan format baharu UPSR ini, penilaian calon bukanlah semata-mata berdasarkan keputusan akademik dan atas dasar itulah Menteri Pendidikan Malaysia menjelaskan bahawa “kemasukan ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh) tidak bergantung sepenuhnya kepada tahap pencapaian akademik”, ia hanya menyumbang kepada 40 peratus daripada syarat pengambilan. Ertinya, 60 peratus lagi bergantung kepada PS, PAJSK, PPsi dan matlamat asal SBP ialah menyediakan tempat untuk pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

KPM mempunyai 61 buah SBP dan menawarkan 9,000 tempat kepada pelajar lepasan UPSR. Jika diambil kesemua pelajar yang lulus semua A, seramai 4,896 orang, SBP masih memerlukan hampir 4,200 orang lagi lulusan UPSR untuk kemasukan ke Tingkatan Satu pada tahun 2017 dan berdasarkan kenyataan KPPM, syarat minimum kemasukan ialah 3A 3B. Selain menerpakan kaedah berfikir aras tinggi (KBAT), format kertas ujian bahasa Inggeris pada tahun ini dibahagikan kepada dua berbanding sebelumnya, satu kertas.

Lebih menyedihkan ialah apabila ramai netizen mengemukakan pandangan liar dan nakal terhadap perubahan format UPSR 2016 tanpa melihatnya secara keseluruhan keputusan UPSR yang diumumkan. Keputusan UPSR 2016 menunjukkan suatu pencapaian yang membanggakan kerana berjaya mengurangkan jumlah pelajar yang tidak dapat menguasai tahap minimum kepada 10,000 orang berbanding sebelumnya 15,000 orang. Jika diukur dari segi pencapaian dan sasaran KPM untuk mengurangkan pelajar yang tidak menguasai tahap minimum setelah enam tahun bersekolah, ia telah terbukti berjaya dalam indeks prestasi utamanya sebanyak 50 peratus.

Tentunya harapan yang lebih besar KPM ialah “kemenjadian murid”, yang diukur dari pelbagai aspek bukan hanya dalam bidang akademik semata-mata. Inilah teras kepada perancangan yang komprehensif dalam melaksanakan transformasi pendidikan negara, bukannya mencetak kesemua pelajar memperoleh sebanyak mungkin A. Pernah suatu ketika masyarakat menyuarakan kebimbangan yang besar apabila setiap tahun ramai pelajar yang cemerlang akademik tetapi gagal dalam pembangunan sahsiah seolah-olah sistem pendidikan hanya mampu melahirkan “jaguh kampung.”

Persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat ialah bagaimana PdP yang berlaku dalam bilik darjah ketika format baru UPSR diperkenalkan. Berdasarkan beberapa pemerhatian, olahan kurikulum yang dilakukan oleh guru-guru masih lagi menggunakan format lama, iaitu format KSSR yang sekian lama menjadi kebiasaannya, termasuklah oleh guru-guru yang sebelumnya menjadi penyumbang besar kepada pencapaian cemerlang pelajar. Ia disebabkan guru-guru berkenaan sudah biasa dengan kehendak format lama, dan sering menggunakan soalan-soalan mirip UPSR sebelumnya sebagai latihan atau penandaarasan.

Sepatutnya, guru-guru yang mengajar kelas peperiksaan (UPSR khususnya) merangka soalan yang mempunyai tahap 40 peratus KBAT, bukannya berasaskan soalan-soalan aneka pilihan lazim. Kelemahan yang lain ialah kaedah PdP lebih tertumpu kepada kaedah lazim, guru mengajar dan murid mendengar, menggalakkan pelajar menghafal dan bukannya berusaha membangunkan budaya berfikir. Kaedah menghafal adalah sesuatu yang mudah, dan sebab itulah guru-guru banyak menggunakan buku-buku kerja berbanding merangka soalan yang selaras dengan format baharu.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), guru-guru sebenarnya telah didedahkan dengan pelbagai teknik mengajar sebagaimana diperlukan dalam KBAT dan KSSR. Guru-guru telah dilatih untuk menerapkan prinsip berfikir, menerusi program i-Thinks sejak tahun 2010 lagi, iaitu sebelum KSSR diperkenalkan ke semua sekolah. Latihan secara berperingkat-peringkat itu tidak diamalkan sepenuhnya oleh guru-guru dalam PdP mereka, sebaliknya masih tertakluk kepada kelaziman berpandukan buku teks, buku kerja. Tidak mengolah kurikulum menjadi bahan PdP yang menarik dan bersesuaian dengan konsep pembelajaran abad ke-21, iaitu pendidikan berorientasikan murid.

Sikap ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anak ke kelas tiusyen juga banyak menyumbang kepada kekecewaan besar apabila pencapaian anak-anak mereka tidak berbaloi. Sebagaimana lazimnya, kelas-kelas tiusyen merupakan kumpulan yang paling lantang menolak pelaksanaan PBS, kerana kaedah itu dilihat boleh “membunuh perniagaan” dan mengurangkan kemasukan pelajar. Walaupun sebahagian besar mereka yang mengajar kelas tiusyen adalah guru-guru yang diiklankan berpengalaman, ia tidak bermakna pengalaman sebelumnya boleh membantu menaikkan rating pusat tuisyen.

Gimik kelas-kelas tiusyen juga memberikan harapan palsu kepada ibu bapa di mana ada iklan yang disebarkan menerusi peti-peti surat di rumah, terutamanya di bandar-bandar utama bahawa “guru berpengalaman”, “guru pemeriksa” dan “guru penggubal soalan”, walaupun sebenarnya, guru-guru tersebut sudah pun bersara. Guru-guru berkenaan sudah ketinggalan dari aspek transformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh KPM.

Sebenarnya, pada suatu ketika masyarakat menjadi sedikit riuh apabila ada cadangan UPSR bakal dimansuhkan bagi mengurangkan keributan pelajar, kerana sistem pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan. Selain UPSR, pelajar akan menduduki PT3 (menggantikan PMR) dan seterusnya SPM. SPM merupakan induk kepada semua peperiksaan dan dilaksanakan ketika para pelajar sudah melalui masa selama 11 tahun peringkat persekolahan.

Polemik cadangan pemansuhan UPSR dan PMR menjadi hangat pada tahun 2010. Kehangatan itu berpunca dari beberapa sebab. Antaranya, ibu bapa merasakan jika dua peperiksaan itu ditiadakan, sistem persekolahan akan menjadi lebih relak dan pelajar serta guru-guru tidak akan memberikan tumpuan yang besar kepada PdP. Ibu bapa merasakan ia adalah satu kerugian yang besar kepada pembangunan modal insan, kerana pada pandangan mereka, pembangunan modal insan seolah-olah hanya berlaku di sekolah.

Ibu bapa hampir melupakan peranan mereka juga penting dalam pembangunan modal insan, terutamanya melahirkan anak-anak yang berjiwa berani, sanggup menghadapi cabaran dan berakhlak, kerana apa yang diajar di sekolah hanyalah dalam bentuk pengetahuan. Anak-anak sentiasa memerlukan bimbingan ibu bapa dalam membangunkan nilai-nilai murni dalam diri dan sering menjadikan ibu bapa sebagai teladan terbaik. Kegagalan itulah sebenarnya menjadi punca kenapa masalah sosial tidak pernah menampakkan surutnya.

Bayangkan, sekiranya anak-anak menjadi pembuli, di manakah kesilapan ibu bapa ketika mendidik anak-anak. Pernahkah ibu bapa bertanya, apakah pesanan yang sentiasa dilafazkan ketika menghantar anak-anak ke sekolah atau sebelum menaiki bas setiap pagi. Sebahagian besarnya mengingatkan anak-anak agar belajar dengan rajin, dan sedia menawarkan hadiah sekiranya mendapat nombor satu dalam kelas. Adakah setiap pagi anak-anak diingatkan supaya berkelakuan baik dan tidak menyakiti hati dan perasaan pelajar lain?

Sudah jarang kedengaran, sedangkan sewaktu ibu bapa memulakan persekolahan dahulu orang tua selalu mengingatkan, belajarlah dengan tekun dan jadilah anak yang baik. Apa pun yang hendaklah dilakukan, ingat pesan ayah dan ibu, saban hari semasa balik dan pulang sekolah, belajarlah dengan tekun agar jadi orang yang berguna. Inilah fenomena yang berlaku sekarang, seolah-olah bercanggah dengan erti sebenar pendidikan kerana ibu bapa terlalu meletakkan pencapaian cemerlang akademik, bukannya “kemenjadian murid.” KPM bertungkus lumus untuk melaksanakan hasrat itu, sayangnya, ibu bapa masih meletakkan harapan agar sekolah melahirkan lebih banyak pelajar dengan gemilang akademik dan apabila jumlah pelajar yang lulus semua A dalamUPSR menurun, ia seolah-olah “malapetaka besar” bakal berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Cuba kita berfikir, apa kesannya apabila Berita Harian pada 18 November 2016 meletakkan tajuk “Kejutan UPSR” sebagai tajuk utama dengan berlatarbelakangkan warna hitam. Apa maknanya warna hitam dalam kamus kehidupan rakyat Malaysia. Bagi sesetengah orang, warna hitam disinonimkan sebagai kegelapan, dan tentunya merujuk kepada sistem pendidikan ataupun kualiti pendidikan. Ertinya, Berita Harian sudah membentuk kesan subliminial dalam pemikiran awam. Sebenarnya, Berita Harian telah gagal dalam usaha untuk memprojekkan kandungan FullAmark dan ruangan pendidikannya, yang masih mengekalkan konsep lama. Akibatnya, kemungkinan akan menyusut pendapatannya kerana tidak dapat menarik minat ibu bapa dan pelajar untuk melanggan akhbar dan portal yang dibangunkan serta diuar-uarkan pada tahun lalu.

Menurunnya bilangan pelajar lulus semua A dalam UPSR bukan bermakna kualiti pendidikan di Malaysia menuju kegelapan, sebaliknya, ia semakin menampakkan bahawa semakin berkurangnya pelajar yang tidak dapat menguasai ilmu pengetahuan. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku di seluruh dunia, bahkan di Finland, para pelajar hanya menduduki peperiksaan awam ketika berumur 16 atau 17 tahun –setara dengan SPM—dan sebelumnya, sistem persekolahan mereka lebih mengutamakan pembangunan sahsiah. Tetapi, ia tidak bermakna rakyat Finland tidak berpengetahuan. Purata kelulusan rakyat Finland ialah ijazah sarjana, rakyatnya belajar bukan dalam keadaan tertekan, belajar dalam suasana selesa dan menyeronokkan. Makin ramai yang ingin mencontohi sistem pendidikan Finland, dan Finland terus muncul sebagai sebuah negara yang berjaya menghasilkan “kemenjadian murid” yang tinggi malah meninggalkan kehebatan para pelajar Eropah dan Amerika Syarikat.

Sumber

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers