Sunday, 6 November 2016

KPM saran ujian air kencing banteras guru terlibat dadah

KULIM: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh mengambil inisiatif sendiri termasuk melakukan ujian saringan air kencing dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan guru.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap guru yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita sudah lama menjalinkan kerjasama dengan PDRM, bahkan setiap negeri ada hubungan baik antara JPN dan polis.

“(Kes dadah) adalah serius dan (mengenai ujian saringan), kita serah kepada negeri masing-masing, saya tidak mahu semua keputusan dibuat di peringkat kementerian, biar pengarah negeri buat keputusan di peringkat mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Anugerah Cemerlang dan Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahang, dekat sini, hari ini.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang guru lelaki berusia 33 tahun di Miri, Sarawak, yang didakwa mengedar dadah.

Beliau berkata JPN dan PDRM boleh berbincang bagi mengenal pasti kawasan yang bermasalah sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“JPN boleh bertindak, mereka perlu berbincang dengan polis bagi mengenal pasti kawasan mana yang terlibat…kita tidak ambil semua guru, ada kawasan dan tempat tertentu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kekurangan guru pakar serta kelengkapan pembelajaran yang menyebabkan kanak-kanak autisme tidak dapat memasuki sekolah pendidikan khas, Mahdzir berkata perkara itu dalam perhatian kementerian.

“Memang menjadi fokus kita untuk melihat pelajar-pelajar autisme mempunyai guru pakar, selain menambah baik kemudahan fizikal di sekolah. Kita memang sedia maklum mengenai perkara ini dan akan ambil tindakan sewajarnya,” kata beliau.

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers