Thursday, 24 November 2016

Kelas padat bukan faktor utama PdP tak capai objektif - Profesor Shatar Sabran

Gambar hiasan
SHAH ALAM – Jumlah kepadatan pelajar dalam sesebuah sekolah atau kelas bukan punca utama yang mempengaruhi impak keberkesanan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Tidak ada satu formula khusus bagi menentukan nisbah yang ideal antara pelajar dan guru bagi menentukan tahap keberkesanan dan mencapai matlamat proses pembelajaran itu sendiri.
Pakar sosial yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, secara umumnya kepadatan sesebuah sekolah atau keperluan jumlah pelajar sesebuah sekolah bergantung kepada keluasan (sekolah atau kelas) serta jumlah guru.

“Kementerian Pendidikan tentunya sudah meneliti soal jumlah kepadatan ini secara serius sebelum sesebuah sekolah di bawah kementerian menerima kemasukan jumlah pelajar bagi setiap tahun atau sesi.
“Kebanyakan sekolah di Malaysia biasanya menempatkan sekitar 40 pelajar bagi setiap kelas dan nilai kepadatan ini dilihat sudah cukup baik untuk proses pengajaran dan pembelajaran itu dilakukan dengan lancar,” katanya.

Malah beliau menegaskan, kepadatan tidak menjadi faktor utama bagi memastikan proses penyampaian ilmu itu mencapai matlamat.

“Faktor utama yang menentukan matlamat proses pengajaran dan pembelajaran tercapai atau sebaliknya ialah guru dan pelajar itu sendiri.

“Dari segi keberkesanan dalam konteks fokus dan tumpuan, paling penting ialah sejauh mana kemampuan seseorang guru itu untuk memberi fokus pengajaran kepada kesemua pelajar di dalam kelasnya.

“Kemudian perlu dilihat juga sejauh mana kemampuan pelajar memberikan penumpuan penuh kepada guru mereka semasa prosespembelajaran.

“Jadi, kedua-dua pihak tersebut perlu memainkan peranan saling bergantungan dalam menentukan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Jika hanya mengharapkan satu pihak saja untuk memberi impak keberkesanan, matlamat proses itu tidak akan dicapai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, masyarakat tidak boleh mengandaikan terdapat satu angka tepat dalam nilai kepadatan yang menentukan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran atau mengandaikan tanggungjawab bagi memastikan matlamat proses penyampaian ilmu itu merupakan tugas dan tanggungjawab satu pihak sepenuhnya.

“Untuk bergelar seorang guru, mereka sememangnya dilatih untuk tujuan pengajaran. Jadi guru pastinya akan melakukan tanggungjawab mereka dalam proses tersebut.

“Masyarakat terutama ibu bapa pula mampu memainkan peranan sokongan seperti mendorong atau beri galakan kepada anak-anak mereka agar dapat memberikan penumpuan penuh dalam proses pembelajaran.

“Saya yakin matlamat proses ini dapat dicapai melalui kombinasi kaedah atau teknik pengajaran daripada guru dan penumpuan penuh daripada pelajar itu sendiri,” katanya.

GPS Bestari/Cikgu Share

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers