Thursday, 24 November 2016

Budaya menghafal buat murid 'terakapai-kapai' jawab soalan UPSR - Dr Othman Lebar

TERIKAT dengan cara pembelajaran tradisional yang lebih menumpukan kepada teknik menghafal selain kekurangan pendedahan guru mengenai format peperiksaan baru antara punca kejatuhan peratusan murid memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, Khamis lalu.

Ini ditambah dengan pengenalan pemarkahan 40 peratus soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan buat pertama kali dikatakan turut menjadi faktor kegagalan murid memperoleh keputusan lebih cemerlang.
Berbanding tahun lalu apabila 38,344 calon berjaya memperoleh 5A, keputusan UPSR tahun ini kemungkinan menimbulkan konflik dalam kalangan ibu bapa khususnya yang kurang arif mengenai format peperiksaan baru.

Dengan hanya 4,896 daripada 452,721 murid mendapat semua A bagi enam subjek dalam UPSR 2016, iaitu cuma 1.11 peratus daripada keseluruhan calon, keputusan itu pasti mencetuskan polemik.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Prof Emeritus Dr Othman Lebar berkata, peratusan rendah itu boleh dijadikan ukuran awal bagi menilai sejauh mana kemampuan murid menguasai KBAT selain kebolehan guru menyerap pengenalan format baru diperkenalkan Kementerian Pendidikan.

Katanya, menerusi format baru itu, murid dan guru tidak boleh lagi terlalu fokus kepada konsep pembelajaran secara menghafal semata-mata tapi juga perlu memberi penekanan terhadap pemahaman.

“Sejak sekian lama, murid dan guru di negara ini mengaplikasikan cara pembelajaran secara hafalan berbanding pemahaman.

“Disebabkan coraknya begitu (menghafal) memang tidak mustahil murid boleh menjawab soalan dengan baik kerana semuanya sudah berpandu.

“Tapi apabila KBAT diperkenalkan, mereka terkapai-kapai kerana corak pembelajaran lama itu tidak selari lagi dengan kehendak format UPSR. Dan, itulah impaknya,” katanya.

Walaupun format itu diperkenalkan buat pertama kali dan kemungkinan ada pihak mempertikaikannya, beliau beranggapan langkah itu tepat bagi mengubah kebergantungan murid terhadap pencapaian akademik semata- mata.

“Sektor pendidikan dunia global sudah berubah. Pergantungan terhadap akademik secara berterusan dikhuatiri bakal menimbulkan masalah kepada murid kemudian hari.

“Pengenalan KBAT antara penyelesaian bagi membantu sektor pendidikan kita memenuhi perubahan global.

“Jangan keterlaluan. Usah jadikan keputusan UPSR tahun ini sebagai masalah besar tapi jadikannya sebagai landasan awal untuk memperbaiki sebarang kelemahan,” katanya yang menangkis dakwaan segelintir pihak yang menganggap murid terbabit dijadikan uji kaji peperiksaan.
“Saya rasa istilah uji kaji atau bahan eksperimen tidak tepat. Lebih baik kita katakan ia sebagai cara menambah baik sistem pendidikan. Lagipun cadangan perubahan format UPSR sudah dicadangkan sejak 2010 dan tahun ini ia dilaksanakan buat pertama kali.

“Perubahan itu dilakukan secara berperingkat. Tidak timbul isu murid perlu dilabelkan dengan pelbagai tanggapan,” katanya.

UPSR 2016 adalah kohort pertama di bawah format baru pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang turut melengkapi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.

Dr Othman berkata, format baru itu adalah perubahan menyeluruh bersifat holistik bagi melahirkan murid yang lebih menjurus kepada pendekatan kreativiti dan aras pemikiran tinggi berbanding sebelumnya memfokuskan kepada soalan aneka pilihan.

“Justeru, tidak wajar membandingkan keputusan tahun ini dengan tahun sebelumnya kerana formatnya jauh berbeza.

“Murid perlu menjawab kertas peperiksaan berkaitan kefahaman dan penulisan yang memerlukan asas kemahiran berbanding soalan berbentuk objektif sebelum ini,” katanya.

Bagi tujuan penambahbaikkan, beliau mencadangkan guru diberi lebih pendedahan mengenai format baru UPSR selain menekankan kepentingan KBAT kepada murid.

Mengakui sukar mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara tradisional kepada format baru, beliau berkata perubahan itu bagaimanapun perlu dilakukan.

“Guru dan murid mesti memulakan langkah membiasakan diri dengan P&P baru sebab format UPSR kini merangkumi semua kemahiran, pengetahuan dan nilai.

“Sehubungan itu, guru perlu mengajar dengan lebih fleksibel agar murid dapat menguasai KBAT dengan baik. Jika berterusan mengajar murid dengan cara menghafal, mereka pastinya tidak berpeluang menguasai KBAT dan akhirnya perkara sama akan berulang pada UPSR seterusnya,” katanya.

Ditanya adakah peratusan 1.11 peratus terlalu kecil untuk murid cemerlang dengan 6A, Dr Othman berkata, itu adalah peratusan sewajarnya.

“Berdasarkan keluk normal pencapaian murid, seharusnya mereka yang benar -benar cemerlang peratusannya kecil iaitu maksimum lima peratus.

“Jumlah 1.11 peratus itu masih berada dalam keluk itu dan ia boleh ditafsirkan sebagai normal. Murid yang termasuk dalam peratusan itu memang benar-benar cemerlang dan berjaya menguasai KBAT dengan baik,” katanya.


jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers