Wednesday, 9 November 2016

10 Panduan Menguruskan Pertukaran Guru Semenanjung Dari Sabah Sarawak

Berikut kami kongsikan pengalaman blogger popular, Cikgu Hailmi berkenaan urusan perpindahannya dari borneo ke semananjung. Semoga dapat menjadi panduan kepada semua.


Pertukaran saya ke Semenanjung baru-baru ini banyak memberi panduan dan serba sedikit maklumat yang mungkin berguna kepada rakan lain yang memerlukan. Sukar juga nak cari maklumat berguna saat kita sibuk menguruskan pertukaran dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia. Selesai saja menguruskan pertukaran saya, maka saya kongsikan panduan ini bagi membantu rakan guru yang memerlukan sedikit tips dan panduan ketika menguruskan pertukaran balik berkhidmat ke wilayah asal. Semoga bermanfaat!
01. Dokumen Wajib Ada

Bagi memudahkan urusan anda menguruskan pertukaran ini, saya cadangkan beberapa dokumen dan salinan fotostatnya disimpan dengan baik oleh anda dalam satu fail. Ini kerana, fotostat bagi dokumen penting ini banyak digunakan sepanjang berlangsungnya proses ini.

Antara dokumen penting tersebut adalah :
- Surat Penempatan Kali Pertama
- Surat arahan pertukaran
- Green Card kereta (geran)
- Salinan IC
- Salinan buku akaun
- Salinan slip gaji terkini


Dokumen-dokumen ini sekadar cadangan. Anda boleh tambah lagi senarai, jika merasakan ada lagi dokumen berkaitan yang diperlukan. Buat lah dalam beberapa salinan (5 salinan dah ok) bagi memudahkan kerja anda kemudian hari nanti. Jangan sampai nanti, dokumen penting tak dapat nak ditunjukkan semasa diminta, sebab fail dah naik kargo!

02. Urusan Gaji

Urusan gaji juga perlu diberi perhatian awal. Ini kerana urusan perpindahan sebegini, jika salah caranya akan menyebabkan terputusnya pembayaran gaji anda. Tentu tak nak kan?. Walaupun untuk sebulan sahaja, tetapi lebih baik dielakkan dan pastikan pembayaran gaji adalah berjalan seperti biasa. Malah dalam surat arahan perpindahan juga ada menyatakan bahawa anda perlu menyelesaikan slip gaji akhir sebelum mula bertugas ke sekolah baru.

Oleh kerana pemberian elaun yang tidak sama bagi Semenanjung dan Sabah Sarawak, maka baik juga jika anda berurusan dengan kerani sekolah lama. Ada kerani sekolah yang proaktif, akan menghentikan pembayaran Elaun EPW (Elaun Perumahan Wilayah) dan juga Elaun BIW (Bayaran Insentif Wilayah) supaya anda tidak terlebih menerima bayaran setelah kembali berkhidmat ke wilayah asal.

Kemudian, sekembalinya ke sekolah baru, maka uruskan lah pula bagi Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan juga Elaun COLA. Maka, tak akan ada kes terlebih bayar, sebaliknya anda pula yang akan menerima tunggakan elaun. So, pilih lah mana yang berkenan di hati.. ;)

03. Elaun Gangguan

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa, bagi guru yang dapat berpindah ke Semenanjung, anda layak untuk memohon Elaun Gangguan. Elaun ini adalah bersamaan dengan sebulan gaji pokok anda. Tak dapat pula saya pastikan atas apa tujuan elaun ini diberikan, tetapi berkemungkinan kerana 'gangguan' yang dialami semasa proses pertukaran stesyen. Dapatkan borang daripada kerani sekolah anda dan lengkapkan dengan segera sebelum pulang berkhidmat di stesyen baru.

Bagi yang inginkan maklumat lanjut mengenai Elaun Gangguan, anda boleh rujuk di SINI

04. Nota Serah Tugas

Nota Serah Tugas adalah dokumen penting bagi menyempurnakan urusan perpindahan anda dari stesyen lama ke stesyen baru. Di dalamnya ada terkandung beberapa perkara penting yang berkaitan dengan penyerahan tugas kita.

Antara maklumat yang terkandung dalam Nota Serah Tugas adalah :
- Surat rasmi penyerahan tugas
- Surat penyerahan dan akuan terima
- Senarai jawatan
- Kedudukan terakhir tugas-tugas belum selesai
- Senarai hartabenda / peralatan
- Kedudukan kewangan / akaun
- Lampiran senarai serahan tugas
- Lain-lain


Sebaiknya, selesai mendapatkan tandatangan daripada mereka yang bertanggungjawab dan berkaitan, maka buatlah beberapa salinan untuk diberikan kepada PK1, Ketua Panitia, Ketua Ajk dan juga untuk simpanan sendiri. Senang urusan di masa akan datang, jika terdapat sebarang masalah di kemudian hari.

05. Urusan Kargo

Bagi yang dah berkhidmat genap atau lebih 5 tahun perkhidmatan di Sabah atau Sarawak, anda layak untuk memohon kemudahan Elaun perpindahan (tak ingat nama betulnya) atau juga lebih dikenali dengan Elaun Kontena. Bagi yang berkhidmat di sekolah pedalaman P1 P2 P3, tempoh layak memohon hanyalah 3 tahun sahaja.

Kemudahan kontena ini memanglah merupakan sesuatu yang mampu meringankan beban pegawai kerajaan apabila bertukar ke wilayah asal. Kalau tak, banyak juga kos yang nak dikeluarkan untuk mengangkut semua perabot atau peralatan rumah yang lain. Itu belum termasuk kos nak menghantar kereta.

Bagi yang layak (wajib cukup 5 tahun!) kemudahan kontena ini diberi mengikut status anda. Jika bujang, kelayakan adalah hanya 5 meter padu, tidak termasuk kereta. Anggaran harga adalah dalam sekitar RM12 000 jugak lah.

Manakala bagi peruntukan berkahwin pula, mencapai sehingga 10 meter padu hingga 15 meter padu bergantung kepada usia dan bilangan anak. Anggaran harga boleh mencapai sehingga RM17 000. Tanya kerani anda untuk maklumat lebih lanjut berhubung isipadu kelayakan.

Anda juga dikehendaki mengambil ukuran isipadu ( panjang x lebar x tinggi) bagi setiap kotak bagi menganggarkan sebut harga yang perlu dibuat. Kemudian tender dibuka, dan syarikat dengan sebut harga dan kelayakan terbaik akan dipilih. Kemudian syarikat tersebut akan terus berurusan dengan anda. Berjanji tarikh untuk diorang datang bungkus dan ambil barang di rumah.

Selalunya syarikat turut menawarkan khidmat pembungkusan secara percuma. Walau bagaimanapun ada juga yang tidak. Maka sila rujuk syarikat tersebut, sebelum anda memulakan kerja membungkus. Tapi secara peribadi, lebih baik kita yang bungkus sendiri supaya lebih senang urusan kita nak mengecam barangan dan juga ketika melabel nanti.

Kebanyakannya adalah menjanjikan khidmat door to door service. Ambil di rumah dan juga hantar terus ke rumah baru. Tapi lebih baik bertanyakan dengan syarikat tersebut deal sebenar antara kita dan mereka. Takut nanti ada salah faham yang berlangsung. Kebiasaannya dalam tempoh 2 - 3 minggu, maka barang dan kereta anda akan tiba di alamat kediaman baru. Sediakan juga salinan IC dan green card (geran kereta) bagi tujuan pelepasan kastam untuk kereta anda nanti.

Jika ada kereta yang turut mahu diposkan ke Semenanjung,tetapi anda tidak layak mendapat khidmat kontena ini kerana bilangan tahun yang belum mencukupi, maka anda boleh hubungi terus syarikat yang menyediakan khidmat penghantaran kereta. Anggaran kos adalah sekitar RM2000 - RM3000 bergantung kepada syarikat dan kedudukan sekolah anda.

Satu lagi ingatan adalah, memandangkan tempoh yang panjang untuk barang tiba ke alamat baru, maka simpan lah beberapa set pakaian kerja dalam beg bagasi untuk terbang bersama anda nanti. Banyak kes juga beberapa rakan yang terpaksa keluarkan duit untuk shopping baju kerja baru kerana menunggu kontena yang belum sampai!

06. Kuarters / Rumah Sewa

Bagi yang menetap di kuarters guru, maka jangan lupa juga untuk isi borang keluar rumah sebelum balik. Selesaikan urusan yang berkaitan seperti bil air dan bil elektrik, dan bil utiliti lain yang berkaitan. Demikian juga halnya dengan guru-guru yang menyewa rumah sewa. Lebih-lebih lagi bagi yang akan meninggalkan rumah sewa tersebut tanpa berpenghuni.

Jangan lupa juga uruskan untuk menutup semula akaun bil air dan bil elektrik yang didaftarkan atas nama anda. Jika tiada pilihan, tukarkan kepada nama rakan guru yang lain sebagai penama baru.

07. Penangguhan lapor diri

Bagi rakan guru yang menjangkakan tidak sempat untuk menyelesaikan semua urusan sebelum masa lapor diri, maka dinasihatkan supaya anda memohon penangguhan lapor diri dengan kebenaran sekolah baru, dan juga daripada sekolah lama. Jika kena dengan alasan yang munasabah dan logik, saya rasa dah tentu pengetua sekolah baru akan memberi kebenaran untuk anda menangguhkan proses lapor diri untuk seminggu dua. Rujuk contoh surat penangguhan lapor diri seperti di bawah.

Surat penangguhan lapor diri ini adalah sebagai dokumen rasmi yang membuktikan bahawa anda masih melakukan tugas di stesyen lama. Juga sebagai bukti bahawa anda masih menjalankan tugas. Ini kerana ada juga kes 'terputus perkhidmatan' ketika berlaku pertukaran stesyen dan akhirnya akan memberi kesan semasa pencen nanti.

Walaupun diberi kebenaran, pastikan anda juga mempercepatkan proses menguruskan urusan di stesyen lama, supaya lebih cepat anda lapor diri, lebih kurang masalahnya nanti.

08. Tuntutan Perpindahan Stesyen

Selain daripada diberi faedah menuntut Elaun Gangguan, guru yang bertukar juga diberikan Tuntutan Perpindahan Stesyen di mana tiket kapal terbang untuk ke stesyen baru juga boleh dituntut. Termasuk juga dalam tuntutan ini adalah elaun lojing / hotel dan elaun makan untuk 8 hari, iaitu 3 hari di stesyen lama dan 5 hari di stesyen baru.

09. Fail Peribadi & Buku Perkhidmatan

Sebagai makluman, Fail Peribadi anda tidak boleh dibawa balik dan akan terus disimpan di stesyen lama. Jika ada surat lantikan atau apa-apa dokumen penting, maka sebaiknya anda buat satu salinan bagi simpanan anda di masa akan datang.

Buku Perkhidmatan pula bagi yang disimpan di sekolah, akan dikemaskini terlebih dahulu oleh pihak sekolah, sebelum dihantar ke JPN stesyen baru. Buku Perkhidmatan tersebut kemudiaannya akan disimpan oleh JPN / PPD / Sekolah bergantung kepada pengurusan JPN negeri tersebut. Sebaiknya juga simpan satu salinan sebagai rujukan anda.

10. Perkara Tambahan

Bagi memudahkan urusan membungkus barang, maka lebih baik sekiranya anda sediakan kotak kosong sebanyak mungkin bagi memudahkan kerja anda. Saiz kotak tidak perlu terlalu besar, dan jangan lah pula terlalu kecil. Yang sedang-sedang saja. Sekiranya bagi keperluan buku / majalah, maka sebaiknya guna kotak yang lebih kecil saiznya. Berat!

Sediakan juga set peralatan untuk membungkus, seperti selotap, gunting, pisau, tali rafia, pen marker dan yang difikirkan perlu. Ini kerana, set peralatan ini akan diperlukan sepanjang proses pembungkusan, sehinggalah kotak yang terakhir. Maka lebih baik asingkan set tadi sebelum anda tersilap simpan lebih awal.

Bila berpindah stesyen, sekurang-kurangnya anda kena sediakan duit sebanyak rm2000 - rm3000 bagi tujuan menguruskan keperluan dan juga sebagai wang pendahuluan untuk tiket dan lain-lain. Ada yang boleh dituntut dan ada juga yang tidak boleh dituntut kembali. Maka mulalah menabung sekarang.. ;)

Ini adalah sedikit panduan yang saya dapat kongsikan dengan rakan guru yang memerlukan maklumat yang diperlukan ketika nak menguruskan pertukaran pulang ke Semenanjung, sama ada dari Sabah atau Sarawak. Jika ada kekurangan, boleh maklumkan kepada saya di ruangan komen di bawah untuk ditambah atau diperbetulkan. Semoga artikel ini membantu mereka yang memerlukan! Selamat berkhidmat di tempat baru.. ;)

Sumber: Cikgu Hailmi
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers