Saturday, 1 October 2016

Ustazah jQAF tuntut keadilan

KUANTAN 30 Sept. - Balu mangsa kemalangan Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (Eimarace 2016) di Indera Mahkota, di sini Ahad lalu menuntut pihak berkuasa menegakkan keadilan bagi keluarganya sekali gus memberi pengajaran kepada pihak yang ingin menganjurkan program sedemikian.

Siti Suhaiza Seman, 38, berkata, tuntutan itu bukan kerana dia menyimpan dendam atau perasaan benci tetapi kematian suaminya, Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya Nur Zulaikha, 5, dalam nahas berkenaan perlu mendapat pembelaan sewajarnya.
Guru program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Mahkota Utama di sini itu berkata, aspek-aspek keselamatan sepatutnya dititikberatkan dalam penganjuran perlumbaan berkenaan memandangkan orang awam sepertinya tidak arif dalam soal tersebut.

“Jika kata tidak boleh masuk melihat perlumbaan, memang kami tidak pergi. Semasa di lokasi kejadian ada pihak bertugas yang mengarahkan kami supaya berundur ke belakang sedikit dan kami patuh arahan tersebut.

“Saya minta keadilan kepada pihak berwajib. Kalau perlu saman, samanlah. Bukan sebab benci tapi kerana kecuaian, sekiranya arwah suami masih hidup sekalipun, dia memang seorang yang tegas. Bertindaklah dan cari keadilan untuk saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Astana Permai, di sini hari ini.

Terdahulu, dia menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,500 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Keluarga mangsa turut menerima pencen penakat berjumlah RM2,000 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad lalu, Izwan dan Nur Zulaikha maut selepas sebuah kenderaan yang bersaing pada Eimarace 2016 terbabas dari trek dan merempuh penonton.

Anak lelaki mangsa, Muhammad Iz Danial, 7, turut cedera dalam kejadian itu manakala Siti Suhaiza cedera ringan.

Sementara itu, Siti Suhaiza berharap dapat diberi tempoh lebih lama kepadanya untuk kembali stabil dan bangkit daripada nahas berkenaan sebelum mula bertugas.

“Saya kena kuatkan mental. Kalau dahulu semuanya berkongsi, namun sekarang semuanya di bahu saya. Muhammad Izz Daniel masih belum tahu apa yang berlaku. Saya kena kuatkan mental untuk memberitahunya,” katanya.

Wanita itu juga merayu mana-mana pihak yang menjumpai telefon pintar jenis Samsung Note 3 miliknya yang hilang dalam kejadian tersebut supaya memulangkannya segera.

Katanya, telefon itu diperlukannya kerana menyimpan pelbagai gambar yang menjadi kenangannya bersama Izwan dan Nur Zulaikha.

“Jangan berasa takut memulangkannya kerana saya tidak akan menghukum atau mengambil sebarang tindakan, malah berterima kasih kepada mana-mana pihak yang mengembalikannya kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya tidak bertolak ansur dengan sebarang insiden yang berlaku membabitkan kecuaian dalam soal keselamatan.

“Kami di pihak kerajaan tidak boleh turun setiap hari bagi memastikan keselamatan orang awam namun kita ada undang-undang dan syarat-syarat keselamatan yang perlu dipatuhi majikan serta tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.


jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers