Sunday, 16 October 2016

PIBGN sokong 'latihan sembelih' di sekolah, PAGE kata tidak normal

PETALING JAYA: Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Mohamad Ali Hassan mempertahankan latihan penyembelihan “haiwan korban” di sebuah sekolah rendah semalam, menyatakan faktor umur bukanlah satu isu.
Bercakap kepada FMT, Ali menjelaskan ia sebenarnya menyasarkan kepada kanak-kanak yang sudah “baligh”, yang merujuk kepada seseorang yang mencapai usia matang dan mampu bertanggungjawab sepenuhnya di bawah undang-undang Islam.

“Biasanya, kanak-kanak perempuan baligh pada usia 9 tahun dan 12 tahun bagi kanak-kanak lelaki.

“Jika kanak-kanak lelaki pada usia 12 boleh membezakan betul dan salah, maka ia tidak mengapa.

“Namun, ia bergantung kepada ustaz untuk menilai sama ada seseorang pelajar itu bersedia atau tidak.”
Ali mengingatkan amalan ibadah korban adalah berdasarkan kepada konsep penyembelihan haiwan dalam cara yang paling berperikemanusiaan.

“Ideanya adalah tidak bersikap kejam kepada burung. Sebagai contoh, anda perlu menggunakan pisau yang sangat tajam dan memastikan haiwan itu dapat dimatikan dengan segera.”

Beliau mengulas laporan FMT, yang mendedahkan ibu bapa dan pelajar di sebuah sekolah rendah di Batu Caves terkejut selepas pelajar disuruh menjalankan aktiviti “korban” terhadap 70 ekor burung puyuh.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Rahim berkata adalah tidak normal menjalankan upacara korban haiwan itu untuk pelajar di sebuah sekolah rendah.

“Saya tidak fikir ia pernah berlaku sebelum ini. Ia bukan sesuatu yang normal perkara seperti itu dilakukan di sekolah. Saya juga tidak fikir ia perlu,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Latihan upacara korban haiwan perlu dijalankan di masjid di kawasan itu kerana mereka mempunyai kemudahan yang sesuai, katanya.

“Koridor masjid mempunyai sistem saliran dan pembetungan yang sesuai untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut manakala di sekolah tidak.

“Biarlah dilakukan di masjid, bukan di sekolah.”

Azimah berkata jika aktiviti tersebut dijalankan di masjid, ia akan menggalakkan kanak-kanak Islam ke masjid dengan lebih kerap.

“Saya fikir itu salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak muda Islam pergi ke masjid. Hari ini tiada lagi kanak-kanak yang pergi ke masjid.

“Oleh itu, jawatankuasa pendidikan Islam atau persatuan Islam boleh bekerjasama dengan masjid untuk mewujudkan aktiviti bagi kanak-kanak melawat masjid.

“Sepatutnya, diajar manfaat positif dan kepentingan daripada perbuatan penyembelihan. Tetapi aspek praktikal boleh dijalankan di masjid. “

Sumber: FMT

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers