Monday, 31 October 2016

Penukaran taraf IPG beri kesan kepada sistem penididkan

TANGKAK - Tindakan kerajaan mengubah taraf sembilan daripada 27 Institusi Pendidikan Guru (IPG) di negara ini, dilihat berupaya mengganggu dan mengundurkan sistem pendidikan kelak.

Ketua Penerangan Keadilan Pusat PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pengumuman dibuat kerajaan melalui pembentangan Bajet 2017 itu sebagai cara mencantas perkembangan pembangunan pendidikan negara.
“Ia seperti mahu menutup sembilan IPG itu. Meskipun beliau (perdana menteri) tidak sampaikan secara jelas mengenai penutupan IPG tersebut, namun tindakan menurun taraf institut tersebut kepada politeknik dan kolej vokasional seolah-olah membawa kepada tujuan berkenaan.

“Bagaimana dengan nasib 1,200 pelajar dan pensyarah di institut perguruan terlibat? Adakah wajar kerajaan korbankan mereka semata-mata kerana ekonomi negara menjunam sekarang?” soalnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tidak ada sebab untuk kerajaan menyentuh kedudukan taraf IPG itu kerana institut tersebut adalah sebuah institut pendidikan tinggi (IPT) yang setaraf universiti dan layak menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada pelajar di situ.

Syed Ibrahim berkata, seandainya kerajaan mengubah taraf IPG terlibat, ia akan mempengaruhi sistem pendidikan nasional dan menimbulkan krisis pendidikan dalam negara.

Justeru, demi menjamin agar kualiti pendidikan negara tidak terganggu, satu kajian teliti perlu dibuat terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum keputusan tersebut dilaksanakan.

“Kemajuan sesebuah negara itu sendiri bergantung pada sistem pembelajaran bermutu tinggi yang diteraskan melalui institusi pendidikan guru,” katanya.

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers