Friday, 21 October 2016

Modul unit beruniform APM tetap diteruskan - Shahidan Kassim

KUALA KANGSAR - Semua modul bina diri untuk unit beruniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi sekolah rendah akan dikaji semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata, keperluan untuk mengkaji semula modul itu dibuat bagi memastikan hanya modul yang sesuai sahaja dilaksanakan untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Kita mungkin akan menjalankan latihan (modul) kepada guru sekolah dan kemudian mereka (guru) melaksanakannya kepada pelajar dalam kokurikulum.

"Namun, tidak dinafikan ada kekangan untuk melaksanakan ini, tetapi kita akan mencari penyelesaian terbaik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru di sini, hari ini.

Pertemuan khas itu diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan berhubung kes ular dicampak ke dalam kolam semasa modul merentasi kolam ketika program perkhemahan unit beruniform APM SK Beluru.

Beberapa hari lepas, satu rakaman video berdurasi lebih dua minit tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut itu menangis dan menjerit setelah jurulatih latihan mencampakkan ular ke dalamnya.

Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu berlangsung. Sebanyak 45 murid menyertai program perkhemahan itu di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata pihaknya tidak bercadang untuk menghentikan program perkhemahan unit beruniform APM, tetapi hanya modul terlibat (merentasi kolam) digantung serta merta.

"Program ini ada banyak modul, bukan hanya lompat pagar tetapi ada juga modul kerohanian. Kita tak boleh hentikan kerana ia diatur untuk tingkatkan jati diri pelajar," katanya.

Mengenai tindakan ke atas anggota APM yang terlibat, Shahidan berkata sebanyak 10 anggota APM telah digantung daripada tugas setakat ini.

"Seorang daripadanya iaitu yang mencampakkan ular ke dalam kolam digantung daripada terlibat dalam semua kerja-kerja APM. Sembilan yang lain digantung daripada terlibat dalam latihan APM yang melibatkan sekolah," katanya sambil menambah semua yang terlibat merupakan anggota sukarelawan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Datuk Selamat Dahalan menafikan laporan beberapa media bahawa selain dicampak ular, pelajar berkenaan turut dibawa ke kawasan perkuburan.

"Perkara ini tidak berlaku sama sekali," katanya ringkas. – Bernama


jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers