Saturday, 1 October 2016

Guru Bahasa Melayu bebas tuduhan cabul murid

Kangar: Guru Bahasa Melayu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada tuduhan mencabul murid perempuan berusia 12 tahun pada tahun lalu.

Majistret Mohd Azhar Hamzah membuat keputusan itu terhadap Muhamad Akhir Bakar, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Mohd Azhar dalam penghakimannya berkata, terdapat percanggahan ketara dalam keterangan saksi pendakwaan dan pihak pendakwaan juga didapati gagal saksi penting untuk mengesahkan cerita mangsa sama ada kejadian itu benar berlaku.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, Muhamad Akhir Bakar didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap murid perempuan di sekolah di Kangar dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bengkel Kemahiran Hidup sekolah berkenaan pada 12.50 tengah hari, 31 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Sementara itu, Muhamad Akhir yang ditemui pemberita di luar mahkamah menzahirkan kesyukurannya atas pelepasan dan pembebasannya daripada pertuduhan berkenaan.

“Saya rasa bersyukur tidak terhingga kepada Allah SWT atas kejayaan ini dan saya turut berterima kasih kepada peguam saya, ahli keluarga dan rakan dalam perguruan di sekolah yang tetap menyokong saya walaupun saya terpaksa menghadapi tuduhan seperti ini,” katanya.

Dia berharap agar perkhidmatan perguruannya yang digantung sejak November tahun lalu dapat ditarik semula bagi membolehkannya untuk menyambung kembali tugasannya sebagai seorang guru.

“Saya tidak berhasrat untuk berpindah ke negeri lain kerana saya sudah lama mengajar disini dan disebabkan itu saya berharap agar saya dapat kembali semula mengajar,” katanya lagi.

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers