Thursday, 13 October 2016

Gaji dan elaun perlu dinaikkan - CUEPACS

SIBU: Bukan sahaja tidak menyokong cadangan pengurangan waktu bekerja kepada enam jam sehari, malah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak agar kerajaan menaikkan gaji pekerja.

“Kami berharap kerajaan mengkaji dengan teliti perkara itu dan juga berharap waktu kerja tidak dikurangkan, tetapi gaji dinaikan,” kata Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda dalam ceramah Integriti dan Masa Hadapan Penjawat Awam anjuran Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (LAS) di Dewan LAS, Jalan Salim pada Rabu.

Azih memberi alasan bahawa jika waktu bekerja enam jam dilaksanakan ia menjejaskan pekerja yang menerima gaji harian atau gaji mengikut jam.

Ini kerana gaji mereka menjadi lebih rendah yang akan memberi kesan ekonomi ke atas pendapatan keluarga ketika kos sara hidup di negara ini semakin meningkat.

Dalam program yang disertai kakitangan LAS dan agensi kerajaan bersempena sambutan Bulan Integriti dan Inovasi LAS 2016, Azih turut menyarankan agar kerajaan mengkaji semula elaun bagi sektor awam menjelang Bajet 2017.

Kenaikan elaun memastikan kadar simpanan isi rumah penjawat awam dapat dipertingkatkan.

Elaun yang diterima seharusnya selari dengan kos sara hidup dengan mengambil kira pelbagai peningkatan kos lain.

“Tindakan sewajarnya perlu dilakukan segera supaya nasib penjawat awam terbela seterusnya tidak terbeban ekoran kenaikan harga barang,” ujar Azih.
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers