Friday, 7 October 2016

Fenomena histeria: Kebiasaan berlaku musim peperiksaan

PELAJAR histeria, sinonim berlaku menjelang peperiksaan. Harapnya tidak berulang apatah lagi menghampiri musim 'panas' peperiksaan sekarang.

Ketua Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Redzuan Zamberi berkata, histeria atau rasukan ini fenomena kebiasaan berlaku di kawasan sekolah termasuk di universiti, kilang, asrama, tempat awam dan sebagainya.

Namun begitu terdapat pelbagai pendapat yang pro dan kontra berkaitan masalah histeria ini kerana ia ditafsirkan dalam pelbagai sudut.

"Ada membuat telahan perkara ini berlaku berkait rapat dengan rasukan jin atau perkara mistik. Sesetengahnya tidak mempercayai hal mistik ini kerana tiada kajian terperinci mendedahkan puncanya kepada umum agar ia tidak berlaku atau mengurangkan peratusan berlakunya gejala ini.
"Histeria bermaksud orang diganggu fikiran atau psikologinya menjadikannya risau, murung, berdebar menyebabkan mereka jadi tak sedar. Keadaan ini kebanyakannya disebabkan gangguan jin atau syaitan terhadap mangsa itu," katanya.

Menurutnya, walaupun begitu terdapat ahli psikologi atau sesetengah pengamal perubatan moden malahan orang awam juga tidak mempercayai punca histeria ini berkaitan gangguan jin atau syaitan walaupun ia berlaku di hadapan mata mereka sendiri.

Katanya, beliau sendiri sebagai kaunselor sukar mempercayai perkara ini walaupun sering kali berhadapan mangsa histeria yang berdialog dengan pengamal perubatan Islam atau rawatan alternatif semasa proses pengubatan.

Mangsa dalam keadaan separa sedar atau tidak sedar mempamerkan pelbagai emosi ketika berdialog seperti marah, senyum, gelak ketawa, menangis dalam tempoh berselang seli tidak terkawal.

"Namun kesemua saya lihat adalah suara mereka sendiri, bukan suara orang ketiga (makhluk halus) yang kita tonton di kaca TV dalam filem seram," katanya.

"Biasanya, histeria berlaku disebabkan dua faktor utama, tekanan dan gangguan. Faktor pertama bila individu rasa tertekan berpunca pergaduhan, cinta, kekecewaan, kewangan dan sebagainya diri mereka hilang pertimbangan, murung dan ketika ini makhluk halus atau jin mudah kuasai mereka. Faktor kedua, gangguan makhluk halus, selalunya melibatkan kes seperti seseorang menuntut ilmu persilatan, perdukunan, tarian tradisional, menurun atau berkeadaan lemah secara mentalnya atau emosi," katanya.
jobs from my.neuvoo.com
Tersimpan memori

Sebagai Ketua Pegawai Psikologi di Bahagian Kaunseling UPM selama 13 tahun, Redzuan sering terlibat secara langsung dan tidak langsung membantu klien histeria ini, selain pengalaman sebagai seorang guru di sekolah agama di Jelutong, Taiping selama beberapa lama.

"Saya juga berpengalaman melihat sendiri beberapa rakan histeria semasa bersekolah asrama di Slim River. Ditambah pula pengalaman menyaksikan rawatan pesakit semasa saya menuntut selama setahun dengan Tuan Guru Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Darussyifa Bandar Baru Bangi.

"Oleh kerana minat mendalam, kelas Darussyifa’ dipelajari pada malam hari, siang hari saya lihat cara rawatan dan beberapa kali bawa rakan untuk dirawat. Jadi, sebagai pengamal ilmu psikologi ditambah pengalaman sebagai penuntut ilmu rawatan alternatif ini, saya percaya kedua faktor ini menjadi penyumbang kepada berlakunya histeria," katanya.

Tegasnya, dalam ilmu psikologi, apa sahaja diucapkan, lihat dan bayangkan akan tersimpan memori dalam minda sama ada pada tahap minda sedar, separa sedar atau minda tidak sedar.

Kebiasaannya memori jangka pendek akan tersimpan tidak kekal di minda sedar. Memori tersebut akan tersimpan secara berperingkat di minda separa sedar dan seterusnya di minda tidak sedar lama-kelamaan.

Contohnya perkara ketika kita kecil seusia 5 tahun, kita tidak berapa ingat, namun memori itu ada sebenarnya cuma ia tersimpan di memori paling dalam iaitu peringkat minda tak sedar.

"Biasanya kaunselor atau ahli psikologi akan bantu klien dalam terapi analisis mimpi ikut pendekatan psikoanalisis dari Sigmund Freud. Melalui pendekatan ini, klien dihipnosis hingga tidur (tahap Alfa).
"Klien diteroka menerobos alam tak sedar untuk mencari memori yang tersimpan itu hinggalah klien disedarkan kembali. Klien tidur, klien berdialog dengan kaunselor semasa separa sedar," katanya.

Melalui pendekatan psikoanalisis Sigmund Freud, apabila kita berada dalam keadaan 'terlampau' atau 'terlalu', sama ada terlampau gembira, suka, sedih, segala memori ini akan masuk dengan mudah dari minda sedar ke dalam minda separa sedar.

Memori ini akan muncul semula semasa kita berada dalam keadaan separa sedar seperti ketika tidur atau histeria.

Redzuan berkata, sebab itu apabila seseorang terlampau sedih kehilangan seseorang disayangi seperti keluarga atau kekasih, mereka akan dapat lihat wajah, bayangan atau lembaga seperti ia hidup kembali di hadapan mereka.

"Ia hanya wayang minda dalam keadaan separa sedar, bukan dalam keadaan sedar. Sebab itu hanya individu alami histeria sahaja dapat melihat fenomena ini. Pengalaman saya sebagai guru semasa cuba bantu beberapa pelajar di sekolah agama berasrama, ketika itu mangsa histeria seorang pelajar wanita.

"Mangsa sangat agresif, kuat dan bengis. Kesemua guru, ustaz, ustazah hampir tujuh orang ketika itu terpelanting ditolak oleh mangsa. Setelah sedar, pelajar itu memberitahu saya kekasihnya mati dalam kemalangan. Pelajar ini tidak dapat menerima hakikat, selalu menangis, menyendiri, murung hinggalah dia nampak beberapa keadaan pelik di sekelilingnya, di asramanya, di bilik air, di tepi katil wajah dan kelibat menggerunkan," katanya.

Ditanya adakah pelajar perempuan sahaja mengalami histeria ini Redzuan memberitahu ia juga berlaku kepada lelaki.

Namun majoritinya berlaku kepada golongan wanita yang kesemuanya berkeadaan lemah dan tidak suci malah sudah lama tidak solat, baca al-Quran, berzikir kerana sentiasa berkeadaan takut di mana-mana berada.

Katanya, ada mengambil keputusan duduk dalam gelap atau berkurung dalam bilik seorang diri.

"Dari pengalaman saya, majoriti hanya bangsa Melayu mengalami histeria ini. Ini kerana mereka banyak dipengaruhi minda separa sedar tertanam sejak kecil bahawa ada 'hantu' di tempat gelap, di sebalik pokok besar, ada hantu merayau di waktu Maghrib dan tengah malam serta pelbagai lagi hingga jadi kepercayaan yang mereka tidak sedar.

"Saya akui dalam ilmu perubatan Islam, ada waktu sesuai iblis mengganggu manusia dan tempat disukainya. Namun saya akan lebih mengaitkan dengan kepakaran saya dalam ilmu psikologi," katanya.

Lemah emosi

Ada mereka yang dewasa dan mempunyai ilmu akademik tinggi, namun apabila berlakunya keadaan menakutkan mereka, memori semasa kecil atau peristiwa ngeri pernah berlaku ini hadir semula.

Redzuan berkata, ia menghantui fikiran hingga berlakulah kes histeria berjangkit hingga mengalami histeria beramai-ramai dalam satu masa.

"Saya pernah lihat situasi ini di universiti apabila seorang pelajar wanita histeria, selepas itu rakan memegang mangsa tadi turut terkena dan pelajar lain yang melihat turut histeria.

"Perkara ini tidak akan berlaku jika individu ingin membantu mangsa histeria atau melihat fenomena histeria ini kuat dari segi emosi dan spiritual. Sebab itu individu lain tidak mempunyai ilmu dan lemah emosi tidak dibenarkan melihat keadaan histeria walaupun rakan atau ahli keluarga mereka yang jadi mangsa. Biarlah golongan berilmu dan berpengalaman menanganinya," katanya.

Menurutnya, kesimpulannya, wujud fenomena histeria akibat tekanan melampau hingga mengganggu proses fikiran seterusnya impak kepada perasaan dan tingkah laku tidak terkawal.

Juga tidak dinafikan berlakunya gangguan atau rasukan jin, iblis, syaitan apabila keadaan mangsa lemah.

"Kejadian histeria ini biasanya berlaku di sekolah agama atau asrama yang ramai pelajar Melayu atau Islam. Sebab itu, dinasihatkan kita mempertingkatkan keimanan, solat dan amalan sunat lain, selalu membaca al-Quran dan sebagainya.

"Bagi pihak sekolah ingin buat bangunan tambahan atau kawasan baru, sebaiknya berdoalah terlebih dahulu dilindungi atau berikhtiar 'memindahkan’ makhluk tersebut ke tempat lain berdasarkan kaedah dibenarkan," katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW juga pernah berdoa kepada ALLAH SWT agar dilindungi daripada diganggu makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut berbunyi, "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu ALLAH, aku mohon perlindungan ALLAH daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan turun atasmu, kejahatan melata atasmu seperti binatang berbisa dan makhluk halus mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka”.
Sumber: Sinar Harian




EmoticonEmoticon

Google+ Followers