Monday, 31 October 2016

7,000 sekolah perlu pendawaian semula

PEKAN 30 Okt. – Sejumlah besar daripada 10,176 buah sekolah di negara ini yang dibina pada 1960-an dan 1970-an berhadapan dengan risiko kejadian litar pintas dan memerlukan pendawaian semula dilakukan bagi mengelakkan kebakaran.

Berikutan itu, Jabatan Pendidikan negeri-negeri diminta menyenaraikan sekolah-sekolah usang dan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan untuk proses pendawaian semu­la bekalan elektrik bagi mengelak tragedi berlaku.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah tersebut kira-kira 7,000 buah adalah sekolah rendah dan kementerian berasakan perlu dilakukan pendawaian semula terhadap bangunan-bangunan itu.

“Justeru, Jabatan Pendidikan negeri-negeri mesti mengenal pasti sekolah-sekolah terlibat untuk kita lakukan penjajaran kewangan di peringkat kementerian bagi tujuan penyelenggaraan sistem berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Perkhemahan Bitara Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Exxonmobil - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof serta Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil, Sukiman Mohamed.

Dalam pada itu menurut Mahdzir, bermula tahun depan sebanyak 1,800 buah sekolah akan dinaik taraf dengan mewujudkan makmal sains masing-masing bagi melancarkan pembelajaran subjek sains seperti Biologi, Kimia dan Fizik.

“Melalui Bajet 2017 kita akan membina, membaiki dan menyediakan peralatan subjek ali­ran sains tulen untuk keperluan para pelajar. Saya jangkakan pada 2018 semua sekolah terlibat terutama sekolah harian boleh menjalani latihan praktikal sains di makmal masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Bersama Guru Aktif dan Guru Muda 1Malaysia daerah Pekan dan Kuantan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini malam tadi, beliau memberitahu, semua PPD yang terlibat dengan kawasan-kawasan banjir berada dalam keada­an siap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh bulan depan.

“Pelbagai penambahbaikan dilakukan terutama kemudahan untuk menghadapi banjir. PPD dan sekolah-sekolah terlibat bukan sahaja bersedia dalam aspek menyelamatkan harta benda sekolah, tetapi turut menyediakan kemudahan asas untuk sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir.

“Antara perkara yang diberi keutamaan adalah pertambahan bilangan tandas di sekolah untuk kegunaan mangsa banjir,” jelasnya.

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers