Tuesday, 6 September 2016

Tuduhan, fitnah tidak berasas - JPN Kelantan

Bachok: Dakwaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ini menyediakan makanan tidak berkhasiat untuk murid program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, disifatkan sebagai tuduhan tidak berasas dan berniat buruk.

Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah menafikan dakwaan itu dan memberitahu pihaknya sentiasa memantau kualiti makanan disediakan supaya mengikut menu bernutrisi yang sudah ditetapkan.

Beliau juga menyelar tindakan pihak menyebarkan viral mengatakan sekolah di Pasir Mas menghidangkan makanan ‘daif’ kepada penerima yang rata-ratanya adalah murid kurang berkemampuan.

"Ini adalah satu tuduhan tidak berasas yang sengaja memburukkan jabatan dan Kementerian Pendidikan.

"Tidak timbul isu sekolah sediakan makanan tak berkhasiat kerana pemantauan pegawai kami mendapati menu dihidangkan adalah seperti apa yang sudah kita tetapkan iaitu nasi goreng Cina bersama lauk daging, tembikai dan air Milo, bukan gambaran sebenar yang ditunjukkan dalam gambar itu (nasi dengan sosej).

"Biasanya hidangan ini disajikan sebelah pagi dan ketika itu pengusaha masih dalam proses penyediaan," katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Badak, di sini.

Ab Aziz berkata, hidangan sosej pula adalah menu tambahan sumbangan pengusaha kantin sebagai galakan murid makan di situ.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya tidak menerima dan viralkan maklumat yang diragui kebenarannya, serta menggunakan saluran betul untuk mengadu jika ada masalah dengan penyediaan makanan di sekolah.
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers