Thursday, 15 September 2016

Risau kena potong, kaki anak jadi hitam selepas minum susu sekolah

SEGAMAT, 13 Sept — Seorang murid gagal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu lalu akibat masalah kakinya yang bertukar hitam seperti terbakar.

Bapanya pula risau kaki Saziila Anuar, 12, terpaksa dipotong setelah mengalami komplikasi serius, yang dipercayai akibat meminum susu yang dibekalkan sekolah, lapor Utusan Malaysia.

“Anak saya dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) pada pagi 27 Julai lalu kerana mengalami demam serta mengadu sakit perut selepas minum susu yang diberikan oleh pihak sekolah pada hari sebelumnya.

“Pada masa itu dia berada dalam keadaan lemah, namun masih mampu bercakap serta mengingati apa yang dia minum di sekolah, tetapi selepas diberikan ubat pada 28 Julai lalu, anak saya tidak sedarkan diri dan koma selama lima hari.

“Kemudian anak saya ditempatkan di unit rawatan rapi di HDS selama lebih dua minggu,” kata Anuar Mahat, 54, dari Kampung Tekam, Pogoh dekat sini.

Tambahnya, selepas Saziila sedar semula, sebahagian kaki dan tangannya menjadi hitam seperti terbakar.

Doktor mengambil keputusan untuk memotong kaki kiri murid itu, namun Anuar tidak membenarkan dan membawanya pulang, lapor akhbar itu lagi.

Saziila kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baru selama 10 hari sebelum kembali ke HDS selama dua minggu lagi.

Anuar sangat-sangat berharap anaknya segera pulih dan tiada anggota badan anak bongsunya itu perlu dipotong bagi mengejar cita-cita untuk menjadi guru.

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/risau-kena-potong-kaki-anak-jadi-hitam-selepas-minum-susu-sekolah#sthash.zh4AFxmK.dpuf
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers