Sunday, 4 September 2016

Kerajaan kaji cadangan pelaksanaan enam jam tempoh kerja penjawat awam - KSN

PORT DICKSON: Kerajaan akan membuat kajian terperinci berhubung cadangan pelaksanaan enam jam tempoh bekerja dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata buat masa kini beberapa agensi terutama penjawat awam yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) kini telah mula bertugas selama tujuh jam sehari.

"Kita akan lihat, kaji dahulu. Sebenarnya sekarang pun kalau kita lihat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan juga beberapa agensi tertentu, khususnya UTC, kita lihat ada shift 14 jam dibahagikan kepada dua, tujuh jam setiap seorang.

"Jadi memang telah diamalkan. Tapi kita akan cari mengapa perlunya enam jam ini dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Transformasi Minda dan Kursus Asas Pegawai Imigresen Siri 2 2016, di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Malah katanya, beberapa cadangan turut diterima kerajaan termasuk untuk membenarkan beberapa skim dan gred tertentu bertugas dari rumah.

"Ada juga yang mencadangkan supaya kerja dari rumah untuk skim-skim tertentu. Jadi semua ini akan dikaji oleh kerajaan," katanya.

Ali Hamsa memberi respon berkenaan susulan laporan khas Astro AWANI baru-baru ini.

Menerusi laporan khas Astro AWANI sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat sudah tiba masa untuk Malaysia mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan waktu bekerja dalam sehari.

Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnan berkata pengamalan waktu bekerja yang panjang akan memberi kesan buruk kepada pekerja dalam jangka masa yang lama dan akhirnya mengurangkan produktiviti.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Bidang Psikologi Industri dan Organisasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fatimah Wati Halim berpendapat, produktiviti di tempat kerja tidak bergantung kepada masa atau jam bekerja yang diperuntukkan, tetapi ia lebih diukur melalui kecekapan seseorang itu bekerja, sejauh mana cara kerjanya berkesan dan sikap positif yang diambil terhadap sesuatu kerja.
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers