Friday, 23 September 2016

17,661 guru di KL 
terima komputer tablet

Mahdzir Khalid bergambar selfie bersama
guru-guru besar dari Wilayah Persekutuan dalam majlis
penyerahan komputer tablet di Kuala Lumpur, semalam.
– Utusan /Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Seramai 17,661 guru di Wi­layah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi kumpulan kedua selepas Sarawak menerima komputer tablet yang dilengkapi aplikasi Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia bagi memberi kemudahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kemudahan gajet berkenaan memberi manfaat jangka panjang di sam­ping mening­katkan daya kreativiti dan inovasi warga pendidik seiring dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Hal ini penting kerana mela­luinya guru dapat menyampaikan kandungan pelajaran dengan nilai yang lebih kreatif. Terima kasih kepada Kumpulan Utusan, de­ngan inisiatif bersama ini diharap guru memanfaatkan sepenuhnya.

“Guru perlu lebih bermaklumat daripada murid dan dapat membimbing mereka dengan meneroka ilmu lebih luas melalui penggunaan tablet ini untuk menghasilkan produk berinovasi,” katanya ketika berucap dalam maj­lis penyerahan komputer tablet itu di Jabatan Pendidikan Wilayah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Foziah Buang.

Tidak ketinggalan Pengerusi Kum­pulan Utusan, Tan Sri Moha­mad Fatmi Che Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pe­ngarang, Datuk Othman Mohamad. 
Pada 8 Ogos lalu, seramai 41,897 guru dan hampir 1,000 pegawai pendidikan di Sarawak telah me­nerima komputer tablet berkenaan.

Pengedaran gajet itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkannya pada 5 Mei lalu, bertepatan dengan anjakan ke-7 transformasi sistem pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu memanfaatkan ICT.

Tablet berkenaan dan perisian itu bakal diterima semua guru di sekolah rendah, menengah serta yang bertugas di Pejabat Pelajaran daerah dan negeri secara berperingkat.

Aplikasi e-Tutor yang disediakan dalam tablet yang diberikan secara percuma itu telah dima­sukkan hampir 16,000 soalan berbagai aras termasuk yang berunsur kemahiran berfikir aras tinggi.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pada masa ini perkembangan ICT dan ledakan maklumat tidak boleh diabaikan dan menjadi satu kemestian dalam mengharungi dunia global tanpa sempadan.

Justeru, katanya, pemberian gajet itu diharapkan dapat menjadi pemacu ke arah pendidikan dan pembelajaran abad ke-21 sekali gus menjadikan guru lebih proaktif dengan memaksimumkan penggunaannya dalam pe­ngajaran dan pembelajaran.

“Diharapkan tablet ini dapat mempercepatkan masa untuk penyediaan soalan dan mempelbagaikan bahan pengajaran dengan lebih interaktif dan seterusnya diharapkan dapat meringankan beban tugas guru.

“Pemberian kecil ini merupakan tanda keprihatinan pihak kerajaan kepada jasa-jasa guru dan dapat meningkatkan kompetensi guru selain menjadi pemang­kin untuk terus kreatif dan inovatif dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru,” katanya.
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers