Saturday, 6 August 2016

Skim Cepat Kaya: 5 Guru Ditahan

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Lima orang guru merupakan antara 16 individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat mendalangi skim cepat kaya dikenali sebagai ‘Highway Group’.

Tangkapan terhadap mereka dibuat secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan lalu, termasuk terbaharu hari ini melibatkan seorang guru lelaki berusia 46 tahun.

Berdasarkan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JS­JK) Bukit Aman, setakat ini lebih 50,000 mangsa dipercayai terpedaya dengan skim berkenaan dengan anggaran nilai kerugian lebih RM50 juta.

Dalam serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Sri Hartamas, kira-kira pukul 1 pagi, guru lelaki yang berasal dari Ke­tereh, Kelantan itu dikatakan berpera­nan sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah skim Highway Group.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Da­tuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semasa serbuan dilakukan, guru lelaki itu dikatakan menyorok di dalam sebuah bilik di kondominium terbabit dan dalam persiapan untuk lari ke luar negara.

“Setakat ini kita sudah menahan 16 orang dan lima daripada mereka merupakan guru.

“Pada masa sama, kita masih mencari 15 lagi individu yang identiti mereka telah pun dikenal pasti termasuk artis terkemuka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani memberitahu, kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Sementara itu, sumber memberitahu, ada di antara mangsa me­ngalami kerugian sehingga RM4 juta seorang selepas terlibat da­lam skim berkenaan.

“Malah, siasatan mendapati sebahagian besar mangsa terdiri daripada kalangan profesional, artis, termasuk guru sekolah.

“Perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan dalang kepada skim sememangnya menyasarkan rakan-rakan dalam ‘circle’ profesion guru untuk me­labur,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan pelakon dan pelawak, Adlin Aman Ramlie antara 15 yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes sindiket penipuan pelaburan yang dipercayai ‘memperoleh’ lebih RM10 juta daripada ahli untuk dilaburkan dalam pelaburan hartanah.

Pelakon itu ditahan kerana didakwa menyediakan rumah untuk melindungi dua dalang sindiket itu.

Tujuh individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’ ditahan di Kelantan, tiga termasuk seorang ‘Datuk’ dan pelakon itu di Selangor, dua lagi di Pahang dan Melaka manakala dua lagi di Pulau Pinang.

Difahamkan, syarikat itu de­ngan singkatan HG ditubuhkan untuk ‘membantu’ mereka yang gagal dalam perniagaan bagi menjana pendapatan pasif de­ngan melabur wang mereka dalam bentuk dana dan kemudian dilaburkan dalam hartanah dengan keuntungan diagihkan kepada ahli-ahlinya mengikut jumlah yang dilaburkan.

jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers