Monday, 1 August 2016

Kementerian Pendidikan, PIBG bekerjasama dalam isu ketum

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah bagi memberi maklumat kepada pelajar mengenai bahayanya pengambilan ketum.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata pihaknya ada menerima laporan berkaitan penglibatan pelajar sekolah dalam kegiatan pengambilan air ketum, namun jumlahnya masih kecil dan terkawal.

"Bagaimanapun, pihak kementerian akan terus menjalankan pemantauan yang ketat di sekolah dan langkah penerangan ini diharap dapat membantu mengekang gejala ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Pertukaran Pelajar Kolej Vokasional Kedah/Perlis bersama Kolej Vokasional Thailand di sini, hari ini.

Mengenai cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ingin melaksanakan projek penanaman daun ketum untuk dikomersialkan, beliau berkata ia dikhuatiri akan disalahguna hingga membawa gejala negatif dalam kalangan masyarakat.

"Kita tidak boleh beri komen yang lebih berkaitan cadangan ini, tetapi kita bimbang ia akan disalahguna hingga membawa bahaya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Tajudin berkata tindakan tegas boleh dikenakan terhadap guru yang menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai sesuatu insiden yang berlaku di sekolah dalam media sosial.

Beliau berkata, tindakan menyebar dan mensensasikan maklumat tidak sahih dalam kalangan guru sekolah boleh mengeruhkan lagi keadaan di antara pihak yang terlibat termasuk sekolah, ibu bapa dan pelajar.

"Pihak guru perlu berhati-hati dan menyiasat kesahihan sesuatu insiden sebelum ia diviralkan kerana jika perkara itu tidak benar, ia akan mendatangkan kesan buruk sekaligus akan menjejaskan nama sekolah dan pihak yang terbabit," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 2,200 pelajar perintis telah berjaya dilahirkan dari 15 Kolej Vokasional yang melibatkan 16 bidang termasuk kursus automatif, kulinari dan teknologi pembinaan menerusi Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sejak ia mula diperkenalkan pada 2012.

Katanya melalui program DVM ini, pelajar akan mengikuti pengajian selama empat bulan sebelum menjalani latihan industri selama tiga bulan sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

"Kita yakin mereka mampu mendapat pekerjaan dengan pengalaman yang telah ada pada mereka," katanya. –Bernama
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers