Ekstremis: Kaji semula kurikulum pendidikan agama

KUALA KETIL - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat kurikulum pendidikan agama Islam di setiap peringkat di negara ini perlu diteliti semula bagi menangani fahaman ekstremis.

Beliau berkata, usaha mendidik masyarakat melalui ilmu dan kefahaman khususnya dalam mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau sederhana dilihat merupakan pendekatan terbaik menangani ekstremisme.

Menurutnya, kurikulum pendidikan agama daripada peringkat sekolah sehingga pusat pengajian tinggi serta sistem pondok seharusnya disesuaikan dengan realiti kehidupan masa ini.

"Contohnya maksud jihad ... kena memberi makna atau memahamkan masyarakat apa sebenarnya jihad kerana jika didefinisikan oleh kelompok berkepentingan seperti pengganas, mereka akan memanipulasikan istilah jihad itu.

"Akhirnya yang jahil, tidak memahami prinsip dan pendekatan agama akan mudah menyalahgunakan perkataan jihad untuk melakukan tindakan-tindakan yang memudaratkan masyarakat, negara dan agama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi merasmikan Seminar Anti Ekstremisme Melalui Pendekatan Wasatiyyah anjuran Kolej Universiti Insaniah (Kuin); Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAG Malaysia) di kampus Kuin Kuala Ketil di sini, hari ini.

Turut hadir Rektor Kuin, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti; Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd Yusof Din dan Timbalan Presiden WAAG Mesir, Usamah Yasin.

Asyraf Wajdi berkata harus diingat bahawa tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan pendekatan undang-undang semata-mata, perlu menanganinya dengan cara memberi kesedaran, kefahaman dan ilmu kepada masyarakat.

Selain itu katanya, pendekatan seperti seminar dan penerangan melalui platform media massa juga perlu diteruskan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya ancaman ekstremis. - Bernama
jobs from my.neuvoo.com
Previous Post Next Post