Monday, 1 August 2016

Bawa dakwa yuran PIBG mahal

JOHOR BAHRU – “Saya terpanggil untuk tampil mewakili suara hati sebilangan besar ibu bapa yang mengeluh dan tertekan kerana bayaran yuran PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sekolah kami dianggap mahal,”kata seorang bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai, di sini,

Menurutnya, media massa adalah jalan terakhir untuk meluahkan tentang yuran yang didakwanya mahal itu.

Bagaimanapun, bapa kepada dua orang anak itu enggan identitinya didedahkan kerana bimbang ia memberi kesan kepada anaknya yang bersekolah di situ.

Dakwanya, bayaran PIBG sebanyak RM250 setiap keluarga bagi yang mempunyai anak di tingkatan lima manakala anak kedua dan berikutnya perlu menjelaskan sejumlah amaun lain mengikut tingkatan adalah dianggap membebankan lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sebagai contoh, jika ada tiga anak yang bersekolah dalam tingkatan lima, tiga dan dua di situ ibu bapa perlu menjelaskan bayaran PIBG sehingga RM370 dan bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin ia tidak menjadi masalah tapi bagaimana yang tidak berkemampuan.

“Sebilangan besar hanya mampu mengeluh namun mereka tiada pilihan selain perlu membuat bayaran kerana tidak mahu anak mereka berasa tertekan selagi yuran terbabit masih tidak dijelaskan,”katanya.

Katanya, pendapatan yang diperoleh tidak memberi masalah kepadanya untuk menjelaskan bayaran terbabit tetapi tampil bagi mendesak pihak PIBG mengkaji semula amaun bayaran berkenaan kerana dianggap membebankan.

Jelasnya, dia sendiri jua turut menyelami perasaan rakan-rakan anaknya yang ibu bapanya masih belum menjelaskan bayaran yuran PIBG mengakui berasa malu dan tertekan apabila guru mereka mulai bertanya bila ia dapat dijelaskan.

Dakwanya lagi, setiap keluarga perlu menjelaskan sebanyak RM120 kepada PIBG sekolah meliputi bayaran Tabung PIBG (RM20), Tabung Pembangunan (RM50), Tabung Kecemerlangan Akademik (RM30), Sumbangan Surau (bagi pelajar Islam) RM2 dan majalah sekolah (RM15).

"Setiap pelajar perlu menjelaskan bayaran sebanyak RM30 meliputi Tabung Perabot, Tabung Pembelian Bahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dan Tabung Khidmat Kesihatan.

"Bagi pelajar tingkatan 5, bayaran tambahan sebanyak RM100 perlu dijelaskan bagi Kem Kecemerlangan Akademik Sijil Persekolahan

Malaysia (SPM) menjadikan setiap ibu bapa perlu menjelaskan yuran keseluruhan kepada PIBG sebanyak RM250," katanya.

Dakwanya, berdasarkan resit dikeluarkan oleh PIBG bayaran dibahagikan kepada dua item iaitu sumbangan kepada PIBG dan sumbangan bagi tujuan menampung akaun PIBG sekolah itu.

“PIBG boleh meminta bantuan kepada pihak syarikat atau badan korporat selain Pejabat Menteri Besar yang mempunyai peruntukan kepada sekolah supaya yuran dikenakan tidak membebankan ibu bapa,”katanya.

Bantu keluarga tidak mampu

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Taman Universiti, Skudai, Prof Madya Dr Abdul Kadir Marsono memaklumkan, pihaknya sentiasa berusaha membantu mana-mana keluarga yang tidak mampu menjelaskan yuran PIBG.

Katanya, bantuan termasuk memberi diskaun sehingga 50 peratus kepada ibu bapa jika hadir mesyuarat PIBG selain pengecualian kepada keluarga yang tidak berkemampuan.

“PIBG bukan sebuah organisasi berorientasikan keuntungan, malah yuran yang dikenakan adalah mengikut keperluan sekolah. Bayaran dikenakan untung tabung PIBG bagi setiap keluarga adalah RM70 setiap keluarga.

“Ia meliputi Tabung PIBG dan Tabung Pembangunan, wang berkenaan digunakan untuk membeli perabot sekolah dengan perbelanjaan kira- RM19,600 bagi 200 set kerusi meja yang ditanggung sendiri oleh PIBG.

“Selain itu, PIBG juga perlu membiayai kos kertas untuk tujuan cetakan sebanyak RM20,000 setahun justeru kita termasak membuat kutipan yuran PIBG bagi menanggung kos berkenaan termasuk perlu melangsaikan baki bayaran membina dewan,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada Pejabat Menteri Besar untuk kegunaan sekolah dan ia telah diluluskan.

Katanya, pihaknya memahami jika ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah untuk membayar yuran PIBG dan meminta mereka untuk tampil memaklumkan masalah dihadapi.

“Setakat ini masih belum ada yang tampil berjumpa kami memaklumkan tidak mampu membayar PIBG. Kita sedia berbincang jika mereka tidak mampu atau ada masalah bayaran," katanya.

“Begitu juga semasa kami menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi yang hadir ke mesyuarat PIBG namun tidak mendapat sambutan,”katanya.
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers