Monday, 25 July 2016

KPM sokong cadangan suntikan vaksin di sekolah

Mahdzir beramah mesra dengan guru pada majlis di 
Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, semalam. Foto: Bernama
BATU PAHAT - Kementerian Pendidikan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk suntikan vaksin dijalankan di peringkat sekolah dan dalam masa sama turut mencadangkan ia dilakukan di sekolah kerana lebih memudahkan ibu bapa mendapatkan insentif itu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya setakat ini tiada masalah untuk memberikan kerjasama dan mencadangkan ia dilakukan ke atas murid tahun 4 dan 5.

Katanya, ada 7,000 sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini dengan data berkaitan setiap pelajar direkodkan dalam pangkalan data.

“Kita cadang ia dilakukan di sekolah dan saya percaya ibu bapa akan bersetuju dengan cadangan ini demi kebaikan anak mereka juga.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah mempunyai data pelajar dan ia akan memudahkan saringan dilakukan seterusnya suntikan berkenaan dapat dijalankan,” katanya pada sidang media selepas Program Bual Bicara Aidilfitri bersama warga pendidik Batu Pahat, di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), semalam.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas cadangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, berkaitan ancaman pengganas, pihaknya menyatakan perlu ada nilai tambah dalam sesi Pendidikan Islam di sekolah bagi mengawal penularan kefahaman yang tidak benar.

Katanya, ancaman seperti IS adalah serius dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja serta boleh berlaku di mana-mana sahaja.

“Maka kita perlu meningkatkan kefahaman kita. Kita perlu tambah nilai sukatan pelajaran yang ada supaya kita dapat jelaskan apa sebenarnya bentuk ancaman itu, yang dihadapi penduduk seluruh dunia.

“Sukatan pelajaran pendidikan Islam sedia ada akan diteruskan dan diselitkan sesi penerangan mengenai pembinaan negara bangsa sekurang-kurangnya sekali sebulan kepada pelajar menengah atas,” katanya
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers